Mayat ditemui terapung di Sungai Machan

KANOWIT: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang dua hari lalu di Nanga Sengkabang Matau, Sungai Machan ditemui terapung pada jarak lima kilometer dari tempat kejadian, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Jonathan Madang, 40, beralamat Rumah Maria Sebie Nyanai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa ditemui pada jam 9.45 pagi hasil hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

Menurutnya, pihaknya menjumpai satu mayat dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

“Pasukan SAR yang menemui mangsa seterusnya membawa mayat terbabit ke rumah panjang Maria Sebie Nyanai bagi membuat pengecaman daripada pihak keluarga mangsa.

“Hasil pengecaman daripada keluarga mangsa mengesahkan mayat merupakan mangsa yang dilaporkan hilang pada Rabu yang lalu,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Susulan itu, katanya, mayat diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan siasatan lanjut dilakukan.

Terdahulu, mangsa difahamkan telah pergi ke Sungai Sengkabang pada jam 5.30 pagi sebelum dilaporkan hilang setelah perahu yang dinaiki ditemui hanyut tanpa pengemudi oleh penduduk kampung sekitar jam 6.20 pagi.

Operasi pencarian awal mangsa pada awalnya hanya menemui jejak tapak kaki mangsa di sekitar tebing sungai oleh penduduk kampung.