Mayat lelaki ditemui pengunjung di Tokong Paku

BAU: Satu mayat lelaki ditemui dalam keadaan terbaring dan dikerumuni lalat serta semut oleh pengunjung di Tokong Paku berhampiran Jalan Buso, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon mengesahkan mayat tersebut ditemui oleh pengadu sekitar jam 1 tengah hari sebelum bergegas ke balai polis Bau untuk memaklumkan kejadian.

Menurutnya, mangsa dikenal pasti sebagai Liaw Poh Yong, 53, dan beralamat daripada Paku, Bau.

“Laporan awal diterima hasil daripada seorang pengunjung ke lokasi untuk bersembahyang telah menemui mayat dalam keadaan terbaring di atas lantai dan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan awal pasukan di lokasi mendapati fizikal mayat yang telah dihurungi lalat dan semut tiada kesan lebam atau luka yang boleh dikaitkan dengan kematian unsur jenayah ditemui,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

.MATI… Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di lantai dan dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu berikutan badannya sudah dihurungi semut dan lalat

Tambahnya, pemeriksaan lanjut di sekitar lokasi turut tidak menjumpai sebarang alatan atau unsur perbuatan jenayah.

Dedahnya, hasil siasatan terhadap Kapitan Paku, Phu Shak Sin, melaporkan simati telah berada di Paku dan Buso sejak tahun 2016 tanpa ahli keluarga atau waris terdekat.

Kapitan Phu turut mengatakan bahawa simati seorang yang kerap berpindah dan tinggal secara menumpang dari satu tokong ke tokong sekitar Paku dan Buso.

Poge dalam kenyataannya bagaimanapun menegaskan kes tersebut masih lagi dalam siasatan polis.

Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).