Mayat lelaki ditemui terbaring di kebun belakang rumah

KUCHING: Satu mayat lelaki disyaki maut akibat tetakan serius di bahagian kepala ditemui di sebuah kebun berhampiran kawasan perumahan Taman Sri Permai Landeh, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan mengesahkan mayat ditemui susulan satu laporan kes dibuat seorang suri rumah mendakwa suaminya ditetak oleh si mati di kawasan kejadian.

Menurutnya, si mati dikenali sebagai Mohd Alias Abdullah, 57, dan beralamat di Kampung Tabuan Lot, Jalan Sungai Apong.

“Rabu lalu, pengadu mendakwa suaminya telah ditetak oleh seorang lelaki tidak dikenali menggunakan senjata parang dari arah belakang ketika berada di kebun tidak jauh daripada rumah mereka.

“Pengadu turut melaporkan suaminya (pemilik kebun) pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala dan bahu sebelah kiri,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa mengalami lima jahitan di bahagian belakang kepala dan tiga jahitan di bahagian belakang bahu sebelah kiri.

Susulan itu, katanya, pihaknya telah menahan mangsa bagi siasatan lanjut terhadap penemuan simati dalam keadaan terbaring di tempat kejadian sehari selepas laporan dilakukan.

Dedahnya, siasatan lanjut mendapati semasa kejadian berlaku pergelutan antara kedua-duanya di mana suspek mengaku ada mencekik dan menetak si mati menggunakan parang sebelum melarikan diri.

“Suspek juga masih belum mengemukakan alasan munasabah berkenaan punca kejadian berlaku,” katanya.

Aidil menambah, sebilah parang sepanjang satu kaki yang didakwa digunakan semasa pergelutan oleh si mati ditemui di dalam rumah suspek.

Ujarnya, suspek hari ini direman di Mahkamah Kuching bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 302 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak