Mayat lelaki OKU ditemui di Kampung Sinar Budi

KUCHING: Satu mayat lelaki berpakaian lengkap ditemui orang awam di dalam parit berhampiran lorong 5J1, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian sekitar pukul 6.45 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mayat bernama Linggi Majid berusia 52 tahun, merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan mempunyai rekod penyakit sawan yang menetap bersama adiknya di kawasan perumahan berhampiran kejadian.

“Menurut adiknya, si mati kali terakhir dilihat keluar rumah sekitar jam 6 petang 18 Januari lalu sebelum mayatnya dijumpai oleh seorang penduduk di dalam parit tepi jalan.

“Mayat dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian seluar pendek berwarna cokelat dan berbaju lengan pendek berwarna biru,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada seluruh badan si mati.

Susulan itu, katanya, mayat kini berada di bilik mayat Hospital Umum Sarawak dan mengesyaki tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian terbabit.

Ujarnya, kes bagaimanapun diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Terdahulu, si mati merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik.

Suara Sarawak