Mayat lelaki yang dipercayai hilang cari ambal, ditemui di sungai Kampung Tambirat

ASAJAYA: Mayat lelaki dikhuatiri hilang ketika mencari ambal pada Rabu lalu ditemui di Sungai Kampung Tambirat, hari ini.

Mayat mangsa, Mohiden Mohamad, 45, telah disahkan identiti oleh salah seorang anak saudara perempuannya, Azzah Izzah, 26 tahun yang turut berada di lokasi penemuan sekitar jam 9.26 pagi tadi.

Menurutnya, identiti menerusi fizikal dan rambut mangsa ketika ditemui masih dapat dikenal pasti biarpun badan si mati sudah mulai menunjukkan perubahan akibat kejadian.

Susulan kejadian, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya, PBT Mosli Salim turut mengesahkan pihaknya telah menerima laporan satu penemuan mayat di sungai berkenaan.

Katanya, operasi pencarian mangsa lemas pada hari ketiga pada awalnya turut dilakukan oleh pasukan BBP Asajaya bersama Unit K9 serta beberapa penduduk kampung pada pukul 7.15 pagi.

“Satu mayat telah ditemui oleh penduduk kampung di kawasan sungai Kampung Tambirat.

“Pihak kita masih menunggu ahli keluarga mangsa untuk membuat pengesahan, sementara tindakan lanjut akan dilakukan” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Azzah berkata, mayat mangsa kini telah pun dihantar ke Hospital Umum Sarawak bagi siasatan lanjut dilakukan.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang ketika mencari ambal di pantai Kampung Sambir pada petang Rabu.

Suara Sarawak