Mayat mengerikan ditemui di Lundu

LUNDU: Satu mayat lelaki hanya tinggal kepala, sebahagian badan, dan kaki kiri dipercayai diserang buaya ditemui orang awam di Sungai Ulu Lobak sekitar jam 7 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lundu, PPgB Putra Ila berkata, siasatan awal mengesahkan mayat dikenali Fairus Latip berusia 37 tahun yang dilaporkan hilang ketika membubu ketam di anak sungai Chupin pada pagi Khamis.

Menurutnya, operasi pencarian pada hari pertama dilakukan BBP Lundu berjaya menjumpai alat menangkap ketam milik mangsa namun mangsa gagal masih gagal dikesan di lokasi kejadian.

“Kita mendapat maklum mayat dijumpai oleh orang kampung pada jam 7 pagi ini di Sungai Lobak Ulu berjarak 30 minit perjalanan menggunakan sungai.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai diserang buaya ketika membubu berikutan anggota badan hanya tinggal kepala, sebahagian badan dan kaki kiri.

“Operasi selanjutnya ditamatkan setelah mayat diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mengeluarkan kenyataan pihaknya telah menerima laporan insiden kehilangan mangsa pada 11.23 malam pada Khamis.

Menurut pengadu, mangsa semalam pada jam sekitar 11. 30 pagi keluar rumah untuk melakukan aktiviti membubu ketam di sebatang anak sungai di Chupin Lundu.

Dedahnya, mangsa dikhuatiri hilang setelah isteri beliau cuba menghubungi melalui telefon bimbitnya namun gagal.

Katanya, pakaian terakhir yang digunakan mangsa ketika kejadian adalah baju Tshirt PLKN dan seluar track sut masing-masing berwarna biru.

NGERI… Anggota badan mayat dipercayai hilang separuh akibat diserang buaya

Suara Sarawak