Mayat nelayan dari Kampung Jemukan ditemui terapung

KOTA SAMARAHAN: Mayat seorang nelayan ditemui terapung di Sungai Jemukan, Sadong Jaya dekat sini semalam.

Mangsa dikenalpasti sebagai Suhaidi Along, 41, berasal dari Kampung Jemukan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintenden Lee Chong Chern, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa sekitar jam 6.15 petang.

“Ketua Kampung Jemukan, Maramat Abang telah menghubungi balai bagi memaklumkan tentang penemuan mayat tersebut, yang dijumpai terapung di Sungai Jemukan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Jemukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Chong Chern berkata terdapat kesan luka di sebelah kiri kepala mangsa.

Katanya bedah siasat dijadualkan dijalankan esok, jam 9 pagi.

Beliau berkata setakat ini, kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.