ARTIKEL

Mayat pelajar lelaki ditemui terapung dalam tasik universiti tempatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Mayat seorang pelajar lelaki ditemui terapung dalam tasik di kawasan universiti tempatan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Jaimi Husin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat pada jam 8.34 pagi.

“Pasukan siasatan bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Jaimi, siasatan di tempat kejadian mendapati mayat merupakan seorang lelaki lengkap berpakaian, dipercayai pelajar tahun pertama di universiti tempatan di sini.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati tiada kesan atau unsur jenayah ditemui pada mayat tersebut.

“Laporan kehilangan mangsa telah dibuat pada 15 Jun 2024 oleh pihak asrama setelah mendapati dia tidak muncul di kediaman, dan kali terakhir dilihat pada 14 Jun lepas.

“Pengecaman mayat juga telah dibuat oleh keluarga dan mengesahkan mayat adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Sementara itu, Komander Operasi, PBK I Ahmad Shah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat lelaki,20, pada jam 8.32 pagi.

“Setibanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi, didapati mayat lelaki terapung berada dalam tasik di universiti itu dengan jarak tiga meter dari tebing,” katanya.

Sehubungan itu kata Ahmad, pasukan bomba membawa naik mayat mangsa ke tebing atas kebenaran polis untuk disahkan kematian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.

Pihak KKM mengesahkan bahawa mangsa seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20 tahun dan telah meninggal dunia, ujarnya.

“Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, pasukan bomba seterusnya bertolak balik ke balai,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU