Mayat rentung dalam kereta terbakar belum dikenal pasti

MIRI: Seorang individu ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di pinggir Jalan Nasturium, Taman Yun Fah pada petang hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 1.12 petang dan segera mengerahkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Lopeng ke lokasi kejadian.

“Didapati seorang mangsa yang belum dikenal pasti identiti dan jantina ditemui rentung di bahagian hadapan tempat duduk pemandu kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Anggota bomba memadamkan api pada kereta yang terbakar di pinggir Jalan Nasturium, Taman Yun Fah, Miri.

Suara Sarawak