SEBUYAU: Mayat seorang kru kapal MV Tung Sung yang karam di perairan Pulau Burung, berhampiran Sebuyau ditemukan kira-kira jam 2.15 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Wong Tee Kue berkata mayat itu dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 8 batu nautika dari pangkalan Jeti Lembaga Sungai Sarawak (LSS), Sebuyau.

“Operasi SAR yang memasuki hari ke-12 berjaya menjumpai satu lagi mayat yang dipercayai mangsa kapal karam terbabit.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk ujian DNA dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Jeti LSS, Sebuyau di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Wong berkata setakat jam 4 petang tadi, kerja-kerja pengepaman keluar air di bahagian kabin kapal setelah ia berjaya diterbalikkan semula semalam, masih dijalankan sebelum kerja-kerja pencarian tiga lagi mangsa dapat dilaksanakan.
“Kabin air dipenuhi air sedalam enam kaki yang perlu dipam keluar sepenuhnya sebelum kerja-kerja pencarian dapat dilaksanakan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nurul Elmi Ali berkata seramai 82 orang termasuk pegawai dan anggota terlibat dalam pengoperasian SAR hari ini.
Ia melibatkan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sarawak Coast Guard dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pengoperasian SAR berjalan lancar dengan dimulakan oleh pasukan HAZMAT Bomba melakukan pemeriksaan di bahagian anjung dan dalam kapal,” katanya.
Kapal MV Tung Sung yang membawa lapan orang kru dilaporkan karam pada 20 Julai lalu, ketika membawa muatan batu kerikil dari Kuching ke Sarikei.
Kesemua kru terbabit terdiri daripada tiga warga Malaysia, seorang warga Indonesia dan empat warga Myanmar yang berusia 20 hingga 52 tahun.