Mayat warga Myanmar yang hilang ditemui di pantai Samalaju

BINTULU: Mayat pekerja asing warga Myanmar yang dilaporkan hilang ketika mandi di pantai Samalaju Rabu lalu, ditemui pada jam 10.23 pagi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu, Kepten Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, mayat Aung Thu, 27, dijumpai Pasukan SAR Darat terdampar di tepi pantai, 2.3 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, waris mangsa sudah dipanggil bagi membuat pengecaman dan mereka mengesahkan mayat tersebut adalah lelaki yang dilaporkan hilang di Pantai Samalaju pada malam Rabu lalu.

Dengan penemuan tersebut, beliau berkata operasi CARILAMAT ditamatkan termasuk Pangkalan CARILAMAT turut dibubarkan, Kilat 44 dan semua aset jabatan serta anggota yang terlibat kembali ke pangkalan masing – masing.

Aung Thu dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan pantai Samalaju berhampiran dengan Pelabuhan Industri Samalaju, kira-kira jam 7 malam.

Operasi SAR dilancarkan sebaik sahaja laporan polis dibuat rakannya yang mendakwa mangsa hilang dibawa arus deras dan usaha untuk menyelamatkan mangsa gagal.

Selain APMM, operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Am, Polis Bantuan Pelabuhan Samalaju, dan Lembaga Kemajuan Bintulu.

Suara Sarawak