ARTIKEL

Maybank Islamic perkasa komuniti Sarawak melalui inisiatif kebajikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Maybank Islamic memperkukuh komitmen terhadap kebajikan masyarakat menerusi pelaksanaan Salam Festival 2026, iaitu inisiatif berskala nasional yang menumpukan kepada program kebajikan sepanjang Ramadan, Syawal dan Zulhijjah (Aidiladha).

Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri dan 122 masjid terpilih di seluruh negara, dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 87,500 individu.

Pengurus Maybank Wilayah Sarawak, Abang Jamili Abang Julai berkata Maybank Islamic sebagai institusi kewangan Islam yang mengangkat prinsip “Menginsankan Perkhidmatan Kewangan” sentiasa komited menyantuni masyarakat melalui pelbagai program kemasyarakatan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Salam Syawal anjuran Maybank Islamic bersama Masjid Al-Ghazali di sini, malam tadi.

Menurut beliau, Salam Festival 2026 bertujuan meringankan beban golongan yang memerlukan dalam komuniti setempat, selain memperluas manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Di Sarawak, beberapa program telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, termasuk perasmian Program Regional Ramadan Relief 2026 bersama Hikmah di Pusat Komuniti Islam Bijagoi, Bau pada 15 Februari 2026 serta Iftar Perdana di Masjid Darul Husni Warrahmah, Taman Hussein pada 21 Februari lalu.

Selain itu, Maybank Islamic turut mengetengahkan pendekatan penyelesaian pengurusan kewangan Islam yang komprehensif dan berlandaskan prinsip syariah.

Pendekatan ini merangkumi instrumen seperti zakat, wasiat dan hibah bagi memastikan keberkatan harta serta keharmonian keluarga terus terpelihara.

Sejajar dengan tajuk tazkirah “Persediaan Kewangan Sebelum Pelaksanaan Ibadah Haji”, majlis tersebut turut menjadi platform perkongsian ilmu berkaitan pengurusan kewangan yang perlu dilakukan oleh bakal jemaah haji sebelum menunaikan ibadah tersebut, termasuk aspek penyucian dan pengagihan harta serta kepentingannya terhadap waris dan ahli keluarga.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Mual Suaud; Pengerusi Masjid Al-Ghazali, Sumardi Ghazalee; serta Ketua Unit Istinbat, Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Sarawak, Ustaz Faizal Abdullah.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU