KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menerima pengiktirafan ASEAN Clean Tourist City Standard bagi tempoh 2026 hingga 2028, sekali gus mengekalkan pencapaian itu untuk kali ketiga berturut-turut.
Menurut kenyataan media MBKS, pengiktirafan di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) itu mengesahkan bahawa majlis berkenaan memenuhi kriteria Standard Bandar Pelancongan Bersih ASEAN.


Pengiktirafan berkenaan diberikan untuk tempoh tiga tahun, bermula 2026 hingga 2028.
“MBKS pertama kali menerima pengiktirafan ini bagi tempoh 2022–2024, diikuti tempoh 2024–2026. Anugerah terkini ini menandakan pengiktirafan kali ketiga berturut-turut, mencerminkan komitmen berterusan pihak majlis dalam mengekalkan bandar yang bersih dan mesra untuk penduduk serta pengunjung,” menurut kenyataan itu.
Pencapaian berkenaan turut melengkapi pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Gastronomi UNESCO, khususnya dalam memperkukuh pengalaman pelancong menikmati sajian tempatan dan mengunjungi kawasan tumpuan makanan.
Menurut kenyataan itu, persekitaran bersih dan terpelihara bukan sahaja meningkatkan keselesaan pengunjung, malah menyokong perniagaan makanan tempatan serta sektor pelancongan.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng merakamkan penghargaan kepada penduduk, pengusaha perniagaan, pertubuhan komuniti dan kakitangan MBKS atas sumbangan mereka terhadap pencapaian itu.

Beliau menegaskan bahawa usaha mengekalkan kebersihan bandar memerlukan kerjasama berterusan semua pihak, termasuk melalui pelupusan sisa secara betul, penggunaan kemudahan awam secara bertanggungjawab dan penjagaan ruang bersama.





