KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) komited dalam memastikan penduduk di kawasan seliaannya mendapat perkhidmatan segera dan boleh dipercayai.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, usaha akan dilaksanakan untuk menyelaraskan proses serta mengurangkan kerenah birokrasi, di samping membuat keputusan lebih cekap.

“Matlamat MBKS adalah untuk memastikan penduduk di kawasan ini menerima perkhidmatan segera dan boleh dipercayai, tanpa ada sebarang kelewatan yang tidak perlu.
“Justeru, kita akan menyediakan sistem pengesanan dalaman yang komprehensif untuk pemprosesan dokumen bagi mencapai matlamat tersebut.
“Ia juga akan dapat mengurangkan tempoh menunggu mana-mana permohonan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada maksimum 10 hari bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah pelantikan semula sebagai Datuk Bandar Kuching Selatan di Bangunan MBKS, di sini, hari ini.
Dalam hal berkaitan, Hong Seng juga memaklumkan bahawa MBKS komited untuk memperbaiki keadaan lalu lintas di bandar ini.
“Kami juga akan melantik lebih ramai warden trafik untuk menangani kesesakan lalu lintas, dan juga memasang lampu isyarat pintar serta kamera litar tertutup (CCTV) untuk mempromosikan keselamatan.