
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan memastikan sekurang-kurangnya sebuah taman awamnya dinaik taraf serta berwajah baharu setiap tahun.
Datuk Bandarnya Datuk Wee Hong Seng berkata, ia bagi menggalakkan masyarakat tempatan mengamalkan gaya hidup sihat serta menganjurkan pelbagai program.
“Sejak dua tahun lalu, kita membenarkan masyarakat menganjurkan pelbagai aktiviti di taman-taman awam seperti program perkhemahan, jualan dan sebagainya bagi memastikan mereka mendapat manfaat yang disediakan.
“Ini adalah peringkat pertama, akan ada beberapa lagi fasa pembangunan taman-taman di bawah kawasan MBKS untuk mengubahnya supaya berwajah baharu, namun bergantung kepada berapa banyak peruntukan yang diberikan kerajaan untuk menaik taraf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Siap Projek Menaik Taraf Landskap Taman Awam Pending, Kuching bagi MBKS, di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha itu bagi menarik minat lebih ramai penduduk tempatan untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan di taman-taman MBKS sekali gus mempunyai komuniti yang lebih sihat.
Sementara mengulas mengenai projek Taman Awam Pending itu, katanya ia memakan kos hampir RM500,000 dengan kerja-kerja naik taraf bermula pada 22 Ogos 2022 dan siap pada 7 Disember lalu.
Antara skop projek naik taraf tersebut termasuk memperbaiki serta memperluaskan laluan landskap lembut sedia ada, menambah taman perlindungan, memasang empat unit peralatan kecergasan baharu, membina set taman permainan baharu serta pintu gerbang berciri ‘pegolas’, memasang papan tanda baharu serta menambah kawasan hijau.