MBKS sedia zon khas merokok

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menyediakan zon khas merokok di beberapa premis makanan dalam kawasan seliaannya.

Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng berkata ia akan dibina menggunakan dana MBKS sendiri, sebagai kemudahan untuk golongan perokok susulan larangan merokok di tempat makan yang akan berkuat kuasa 1 Januari 2020.

“Tujuan kami bukan hendak menggalakkan orang merokok tapi kami juga perlu memikirkan tentang golongan perokok ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MBKS di sini, hari ini.

Katanya pegawai-pegawai penguatkuasa MBKS kini sedang mengenalpasti tempat-tempat makan yang sesuai untuk disediakan dengan kemudahan tersebut.

Menurut Hong Seng, terdapat lebih 1,000 tempat makan dalam kawasan seliaan MBKS setakat ini.