MBKS tidak kutip sampah haram

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memaklumkan tidak akan mengutip mana-mana lambakan sampah secara tidak sah berikutan penubuhan pasukan petugas dengan kerjasama syarikat Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd.

Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, penubuhan pasukan petugas itu merupakan antara pendekatan pertama yang dilaksanakan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan sampah di kawasan MBKS.

“Kami sering menerima banyak aduan isu berkaitan lambakan sampah ini melalui medium media sosial hampir setiap hari.

“Setiap kali melakukan mesyuarat, kami kerap membincangkan penyelesaian untuk memastikan pendekatan yang diambil berada pada landasan yang betul.

“Oleh itu, pihak kami memutuskan untuk menubuhkan pasukan petugas khas yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan berkaitan hal ini,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis MBKS di Pejabat MBKS di sini, semalam.

Menurut beliau, anggota pasukan petugas khas itu terdiri daripada dua ahli yang masing-masing mewakili MBKS dan Trienekens.

Penguat kuasa ini jelasnya, akan memeriksa kawasan pembuangan sampah merata-rata dan memantau punca masalah yang berlaku.

“Bagi inisiatif di bahagian MBKS, kami akan menubuhkan tiga program pembersihan musim bunga terutama pada musim perayaan dengan mengagihkan tong beroda kepada setiap penduduk di sekitar ini untuk membuang sampah,” katanya lagi.

Hong Seng mengingatkan orang ramai bahawa mana-mana individu yang didapati bersalah dalam kes pembuangan sampah secara haram akan dikompaun sekurang-kurangnya RM2,000.

Katanya, jadual dan lokasi untuk pelaksanaan pembersihan pada musim bunga tahun ini akan diuar-uarkan melalui media sosial dan akhbar tempatan.

Suara Sarawak