ARTIKEL

Dr Wee (dua kanan) menerima senarai terbaharu rayuan program matrikulasi daripada Ketua Biro Pendidikan Pemuda MCA, Ong Chee Siang (dua kanan), di lobi Parlimen semalam. - Foto: FB Wee Ka Siong

MCA harap pelajar gagal rayuan ke matrikulasi diberi peluang kedua

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) berharap pelajar yang gagal dalam rayuan bagi memasuki program matrikulasi diberi peluang kedua untuk melanjutkan pengajian, kata presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, apabila keputusan rayuan bagi program matrikulasi diumumkan pada Jumaat lepas, senarai perayu yang tidak berjaya telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

“Semoga kesemua mereka berjaya dalam rayuan dan akan menerima berita baik tentang penempatan tidak lama lagi.

“Terima kasih, YAB PM (Perdana Menteri),” katanya dalam hantaran Facebooknya.

Wee berkata senarai terbaharu rayuan program matrikulasi itu diterima daripada Ketua Biro Pendidikan Pemuda MCA, Ong Chee Siang, di lobi Parlimen semalam.

“Daripada 151 pelajar yang gagal dalam rayuan mereka, 65 daripadanya mendapat 10A dan ke atas, tujuh pelajar mendapat 11A penuh, 53 pelajar mendapat 10A penuh, dan lima lagi yang mengambil 11 mata pelajaran mendapat 10A.

“Terdapat sembilan lagi pelajar yang mendapat 9A penuh,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata senarai kes rayuan kemasukan program matrikulasi turut diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hari ini untuk tindakan Kementerian Pendidikan selanjutnya.

“Sempat berbincang dengan Menteri Pendidikan. Doakan yang terbaik buat pelajar straight A,” menurutnya lagi dalam satu lagi hantaran Facebook hari ini.

Baru-baru ini, Anwar mengumumkan bahawa setiap pelajar yang berjaya memperoleh 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dijamin tempat dalam program matrikulasi tanpa mengira kaum dan latar belakang. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU