KUCHING: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menerusi satu kenyataan media semalam.
Tambah kenyataan itu, penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga boleh mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga adalah perkara yang tidak wajar dipandang ringan.
“Lebih-lebih lagi ketika melibatkan saat kehilangan dan kedukaan,” menuru kenyataan tersebut.
MCMC berkata pihaknya telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan yang dimaksudkan.
Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
MCMC turut mengingatkan semua pihak agar tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan dimanipulasi yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.
Orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi dan melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.
Kemajuan AI membuka banyak manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab.
“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” tambah kenyataan tersebut.


