ARTIKEL

MCMC pikul tanggungjawab sedia internet, tingkat literasi digital Orang Asli Hulu Kemensah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Seiring dengan pemasangan unit peranti satelit Starlink di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah bulan lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pejabat MCMC Negeri Selangor mengambil langkah proaktif dengan memberi pendidikan serta kesedaran berkaitan penggunaan Internet secara selamat kepada penduduk kampung itu.

Klik Dengan Bijak (KDB) adalah satu daripada inisiatif MCMC untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran awam tentang keselamatan, tanggungjawab dan perlindungan di Internet.

Tidak mengamalkan sikap ‘lepas tangan’, Pengarah Seksyen Pembangunan MCMC Selangor Muhammad Jaflus Baharudin berkata pelaksanaan program itu antara lain bagi memastikan peningkatan literasi digital seiring dengan perluasan akses pencapaian Internet supaya masyarakat itu tidak terdedah dengan risiko dalam talian.

“Mungkin (sebelum ini) penduduk di sini tidak dapat pendedahan lebih lengkap berhubung isu-isu semasa, (bentuk) penipuan ataupun ancaman yang berlaku daripada penggunaan internet yang tidak bijak atau pintar. 

“Jadi dengan pendedahan yang kita berikan dapat membuka dan mencelikkan mereka agar bukan sahaja boleh guna Internet sesuka hati tetapi mesti ada sahsiah ataupun budi bicara apabila melayari sesuatu laman web,” katanya ketika ditemui Bernama di kampung berkenaan, baru-baru ini. 

Program yang diadakan pada 24 Ogos lepas melibatkan sesi taklimat meliputi pembentangan modul antaranya penggunaan Internet secara bijak, maklumat palsu, risiko terlebih kongsi (oversharing) dan penipuan kewangan bagi tujuan pendedahan penggunaan Internet yang berfaedah kepada masyarakat Orang Asli Hulu Kemensah terutamanya kanak-kanak dan belia.

Penceramah program Klik Dengan Bijak, Siti Na’ilah Kamarudin berkata pendedahan melalui inisiatif itu juga meliputi pengenalan kepada akta berkaitan kesalahan dalam talian yang mana sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didakwa dan dikenakan tindakan.

Antara kesalahan dalam talian yang boleh didakwa adalah seperti memuat naik kata jelek atau lucah, kandungan menyakitkan, mengugut mengganggu orang lain dan sebagainya.

“Kita juga memberi pendedahan bahawa ada akta yang boleh mendakwa individu yang salah guna Internet. Kita tidak mahu mereka tak tahu wujudnya akta yang boleh mendakwa mereka sekiranya mereka melakukan kesalahan ini.

“Oleh kerana melayari Internet ini ada risiko, bukan semuanya boleh memberi kebaikan.

Jadi kita nak berikan pendedahan kepada mereka tentang risiko yang bakal terjadi dan macam mana (cara) untuk tangani risiko tersebut,” katanya. 

Na’ilah yang juga Timbalan Pengarah MCMC Selangor berkata berdasarkan maklum balas, mendapati pelajar di kampung berkenaan yang mempunyai seramai 135 penduduk atau 35 keluarga semakin kreatif dan pantas dalam mendapatkan maklumat diperlukan melalui Internet bagi membantu proses pembelajaran mereka.  

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Orang Asli Hulu Kemensah Jamil Atong berkata pemasangan unit peranti satelit Starlink di kampung itu memberi banyak manfaat kepada penduduk terutamanya dalam aspek pendidikan.

“Sebelum pemasangan Starlink di kampung ini, anak-anak tak boleh membuat kerja sekolah secara dalam talian di rumah terutama ketika hujan, kerana perlu turun (pergi) ke simpang kampung untuk mendapat capaian Internet.

“Namun, dengan pemasangan Starlink, anak-anak di sini tidak lagi perlu turun ke simpang untuk mendapatkan capaian Internet, mereka kini boleh membuat kerja sekolah secara dalam talian di rumah sahaja,” katanya. 

Pada 11 Ogos lepas, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebooknya, berkata kawasan berkenaan merupakan perkampungan Orang Asli pertama dipilih untuk pemasangan Starlink sekali gus menjadikannya lokasi kedua selepas Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Penduduk Kampung Orang Asli Hulu Kemensah kini dapat menikmati kelajuan data Internet melebihi 200 Mbps dengan kuota sehingga 1 terabyte sebulan. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Planetarium Negara sambut 30 Tahun Jubli Mutiara

KUCHING: Sambutan 30 tahun Jubli Mutiara Planetarium Negara sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Bulan Februari 2024 dirasmikan oleh Timbalan Menteri

BERITA TERBARU

Meruked lancar muzik video baharu

KUMPULAN muzik tempatan Meruked melancarkan single dan muzik video terbaharu mereka berjudul Kining Posah pada Jumaat ini.  Menurut vokalis, Syed Ashraf Edruce, Kining Posah bermaksud

Tarikan ekopelancongan burung walit

AKTIVITI EKONOMI dan keusahawanan penduduk kampung mampu dibangun dan diperkasa melalui pembangunan Projek Ekopelancongan Burung Walit Kampung Merembeh. Projek tersebut membuka peluang pekerjaan baharu dan