CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghubungi Meta, selaku penyedia platform Threads, berhubung penyebaran imej Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang disunting dengan unsur penghinaan dan dimuat naik di platform berkenaan.
Susulan itu, kandungan berkenaan diturunkan, manakala akaun terlibat turut disekat daripada diakses.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan pihak penyedia platform bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil selaras dengan garis panduan komuniti dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut MCMC dalam kenyataan pada 12 Oktober 2026.
MCMC turut memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap penghasilan dan penyebaran kandungan tersebut.
“Tindakan lanjut boleh diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” jelasnya.
Dalam pada itu, MCMC menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik atau menyebarkan semula kandungan berkenaan bagi mengelakkan penyebarannya terus meluas.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui fungsi pelaporan pada platform Threads, Portal Aduan MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my atau saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.






