CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menilai sebuah video tular dalam media sosial yang didakwa mengandungi maklumat palsu dan mengelirukan berhubung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelepasan cukai pendapatan dalam Belanjawan 2027.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini, MCMC bertindak selepas menerima aduan orang awam mengenai video tersebut.
Suruhanjaya itu memaklumkan bahawa perkara berkenaan telah dirujuk kepada Kementerian Kewangan.
Kandungan video itu kini sedang dinilai, termasuk konteks penyebaran dan potensi kesannya terhadap masyarakat.
“Penyebaran maklumat sedemikian berpotensi menimbulkan kekeliruan mengenai dasar percukaian negara, mencetuskan kebimbangan yang tidak berasas serta mempengaruhi keputusan kewangan rakyat berdasarkan maklumat yang salah,” menurut MCMC dalam kenyataan itu.
Menurut MCMC, tindakan lanjut akan dipertimbangkan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh menjejaskan kepentingan awam,” tegasnya.
MCMC turut menggesa orang ramai supaya menyemak sebarang maklumat berkaitan Belanjawan 2027 sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Semakan boleh dibuat melalui portal rasmi Kementerian Kewangan di www.belanjawan.mof.gov.my, portal www.sebenarnya.my, chatbot AIFA melalui WhatsApp di talian 03-8688 7997, serta saluran rasmi pihak berkuasa berkaitan.






