KOTA SAMARAHAN: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) merupakan tulang belakang dalam membuat penilaian teknikal dan membenarkan produk-produk saringan Covid-19 memasuki pasaran.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee berkata, peranan agensi yang telah beroperasi selama 10 tahun itu adalah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan berkaitan peranti perubatan sentiasa dipantau serta dikawal.
“Usaha MDA melipat gandakan program kesedaran awam bagi memastikan mereka diberi penjelasan mengenai penggunaan peranti perubatan mengikut arahan kepengunaan, serta menerangkan peranan MDA terhadap kawalan regulatori peranti perubatan di Malaysia.
“Ini juga memastikan rakyat memilih peranti berdaftar MDA untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan agar tidak memudaratkan diri sendiri, keluarga serta masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Program Jelajah Kawalan Peranti Perubatan Fasa Endemik di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, hari ini.
Justeru, beliau menyeru agar setiap agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi dan orang awam untuk berganding bahu menyokong usaha yang dilakukan oleh MDA
MDA merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ditubuhkan di bawah Akta Pihak Berkuasa Peranti Perubatan 2012 (Akta 738).
Akta tersebut adalah untuk melaksana dan menguatkuasakan rangka kerja kawal selia peranti perubatan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).
