Media bebas acuan Malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MEDIA bebas tiba-tiba menjadi isu hangat diperkata pada Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Ipoh. Ini berikutan tema yang diangkat pada kali ini ialah “Media Bebas Tonggak Demokrasi.”

Lalu diangkat mauduk ini untuk dibincangkan. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memberi jaminan, bahawa media di negara ini tidak akan lagi terkongkong.

Tidak akan lagi diugut jika membuat laporan mengenai lawan kerajaan, atau pembangkang.

Ini katanya, mengambil kira pengalaman beliau sendiri yang pernah dicerca dan dihina, ketika berada di kerusi pembangkang.

Mungkin kerana alasan tersebut, diserang bertubi-tubi oleh media kerajaan dan prokerajaan, sebelum 2018, maka beliau mengambil keputusan untuk memboikot beberapa media arus perdana.

Antaranya, TV3 dan RTM. Pada 2016, seorang rakan wartawan penyiaran daripada TV3 terpaksa mendaftar masuk ke sidang media Anwar dengan menggunakan nama penulis.

Namun kemudian berlaku pertikaman lidah antara mereka, yang kemudian tular.

Boikot ini diakui sendiri oleh Fahmi Fadzil yang ketika itu Pengarah Komunikasi Strategik Parti Keadilan Rakyat.

Beliau yang kini Menteri Komunikasi dan Digital mengakui menjadi individu yang membuka pintu dan menamatkan boikot yang berlaku.

Beliau menerima serangan, pertanyaan dan kritikan dengan hati yang terbuka.

Kerana itulah katanya, beliau mahu menterjemahkan idea media bebas ini seluas mungkin. Namun adakah media di negara ini benar-benar bebas?

Adakah kita mampu mengulangi aspirasi yang menjadi titik tolak perjuangan karyawan Utusan Melayu yang melancarkan mogok bermula 20 Julai hingga 21 Oktober 1961 kerana mahukan akhbar itu bebas daripada tangan ghaib dan tangan politik.

Sebagai seorang yang lama berkecimpung dalam dunia kewartawanan, penulis akui media yang bebas, malah wartawan yang bebas merupakan idea yang cukup menarik.

Namun hakikatnya, ia agak mustahil untuk dicapai, apatah lagi dalam konteks hari ini.

Kebanyakan syarikat akhbar dan stesen televisyen pada hari ini hidup bagai kais pagi makan pagi.

Biarpun Anwar menegaskan beliau masih membaca surat khabar, realitinya, ia tidak mewakili rakyat kebanyakan.

Model perniagaan yang sedia ada sebenarnya tidak menunjukkan sinar, kerana iklan kepada media kotemporari menyusut teruk.

Malah edaran surat khabar juga jauh berkurang berbanding dulu.

Berada di Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19, perniagaan iklan begitu menyesakkan.

Papan tanda gergasi, kebanyakannya telanjang tanpa baju.

Apatah lagi akhbar dan televisyen yang semakin menipis hasilnya.

Kerana itu jugalah, topik pengiklanan media konvesional ini menjadi perbincangan hangat dalam forum Hawana 2023.

Malah topik peralihan iklan daripada media konvensional ini, kepada digital dan kini media sosial dibincang dengan “panas”, kerana saingannya ialah tawaran yang lebih murah dan jangkauan yang lebih luas.

Lalu bagaimana untuk media-media konvensional akan terus bertahan dan “survive”?

Mungkin ada akhbar yang masih kebal bertahan, seperti The Edge dan stesen berita 24 jam Astro Awani yang di belakangnya, konglomerat terkemuka.

Dan untuk kekal relevan, mereka perlu dilihat bebas, dan tidak memihak, terutama pada waktu pilihan raya.

Tetapi adakah ia realiti yang berlaku di Malaysia?

Sedangkan tanpa “bantuan” banyak pihak, dalam era iklan semakin berkurang, dan harga kos cetak semakin meninggi, semakin banyak langganan maka semakin demam pengusaha yang terlibat.

Kos untuk akhbar dijual pada harga seringgit adalah berkali-kali ganda tinggi.

Justeru, pemilikan media walau secara tidak langsung akan mengekang kebebasannya, kerana sekurang-kurangnya ia mesti mengikut hayunan pemilik; ke mana ia memihak.

Dalam konteks pada hari ini, semua pihak harus sedar bahawa bebas sepenuhnya untuk media, juga tidak sesuai.

Kerana kebanyakan wartawan dan media kita masih belum cukup matang untuk melakukan semak dan imbang dalam laporan mereka.

Malah masih merata laporan berat sebelah, bias dan mengikut telunjuk individu tertentu.

Malah tidak sedikit yang menelan hasil budi, hingga “tergadai integriti.”

Dan ini yang harus diselesaikan dahulu sebelum mahu menuju ke arah media yang benar-benar bebas.

Realitinya, bebas juga tidak harus seperti di negara jiran, atau berbuat seperti media sosial.

Kita tidak mahu atas nama bebas, isu sensitif yang menjadi tiang keharmonian seperti agama, bangsa, malah menuduh individu yang belum disabit bersalah dalam kes jenayah sebagai bersalah berlaku.

Perlu ada tulisan dan laporan yang beretika dan berwibawa, dan untuk mewajarkan ini, perlu ada garis panduan, perundangan yang ketat dan tindakan penguatkuasaan yang tegas.

Jika tidak insiden tragis 13 Mei 1969 akan berulang, dan undangundang hutan akan mengambil alih, akibat media yang bebas membuat terjemahan dan tohmahan.

Memang ia tonggak demokrasi, namun biarlah kebebasan media ini diangkat dalam acuan Malaysia, bukan terlalu bebas sehingga mendatangkan bencana. Insaflah, satu tulisan media ibarat tikaman seribu benet.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja