Media berat sebelah?

BERITA ini berat sebelahlah, celah seorang lelaki membaca akhbar sambil menghirup kopi dan makan roti canai di kedai mamak kesukaannya.

Kalau begitu, beralihlah pada portal berita dalam talian, kata kawan sebelahnya.

“Baca berita dalam talian, sama sahaja. Berat sebelah juga,” balasnya ringkas.

Selepas ayat itu, saya yang duduk di meja sebelah bingkas bangun dan beredar.

Namun dalam hati saya berdetik, rupanya ada kalangan pembaca yang sedar bahawa berita dalam akhbar mahupun dalam portal berita sentiasa berat sebelah dalam liputan isu semasa.

Lihat sahaja ulasan tentang belanjawan yang baru dibentangkan untuk perbahasan di Dewan Rakyat petang Jumaat lalu.

Ada akhbar memuji, ada akhbar kata tidak cukup, ada akhbar kata belum sempurna.

Mana satu yang betul? Pembaca, bukan pakar ekonomi mungkin terpinga-pinga hendak menjawab soalan ini.

Saya tidak mahu membincangkan bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Minda Media minggu ini.

Anda boleh membaca tulisan dan ulasan sepenuhnya oleh pelbagai pihak, daripada ahli Parlimen pembangkang, penyokong tegar, pakar ekonomi sehingga orang biasa.

Yang hendak saya ulaskan ialah tentang pokok bicara dua orang di kedai mamak tadi.

Mereka sebenarnya memperkatakan adakah akhbar bersifat objektif.

Kalau akhbar tidak bersifat neutral, ini bererti media condong ke arah menyokong sesuatu pihak.

Mereka ini condong ke arah mana?

Ke kiri atau ke kanan dalam spektrum politik liberal konservatif?

Kalau diteliti daripada definisi apakah itu berita, kita akan mendapati bahawa sarjana media mengetengahkan objektiviti sebagai konsep utama dalam liputan.

Objektiviti secara mudahnya melaporkan sesuatu isu seperti apa yang diperkatakan sumber.

Sekiranya melaporkan apa yang diperkatakan sumber, adakah itu sudah bersifat objektif?

Adakah isu dilihat dari satu perspektif sahaja? Adakah tidak ada perspektif lain?

Adakah isu sama apabila diperkatakan oleh orang yang mempunyai pendirian politik liberal atau konservatif sama?

Sudah semestinya berbeza.

Definisi objektiviti tadi perlu dikembangkan dan mengambil kira idea semua pihak berkepentingan dalam sesuatu isu agar seimbang.

Namun, kalau sebuah berita itu ditulis dengan mengambil kira kedua-dua pihak, bagaimanakah kandungan itu perlu diolah.

Kalau berita itu sepanjang 14 perenggan, tujuh perenggan pertama membentangkan pendapat A, tujuh perenggan lagi untuk B.

Bukankah penulisan sebegini bererti kita mengutamakan pendapat A daripada B?

Sudahkah liputan itu bersifat objektif?

Apakah alternatifnya?

Kita boleh menulis dua berita berasingan berdasarkan bahan daripada A dan B.

Apabila dicetak, kita mendapati bahawa berita A diletakkan di posisi menonjol di muka depan akhbar, sementara berita B dicetak di halaman dalam.

Soalan objektif yang kita anggap mudah, rupa-rupanya rumit untuk dirungkaikan.

Kalau begitu, berita A dan B dicetak pada halaman sama. Berita A dicetak di sebelah atas dan berita B di sebelah bawah pada halaman yang sama.

Adakah ini sudah bersifat objektif?

Kita akan membaca berita di bahagian atas terlebih dahulu, dan mungkin terlepas pandangan berita B yang dicetak di sebelah bawah.

Untuk memastikan objektiviti, apa kata berita A dan B dicetak sebelah-menyebelah pada halaman yang sama.

Adakah itu sudah dianggap sebagai objektif?

Kita membaca dari kiri ke kanan. Kita cenderung membaca A terlebih dahulu sebelum beralih kepada berita B.

Tidak ada kesudahan dalam perbicaraan isu objektiviti. Ini bererti media menetapkan pendirian pihak yang hendak ditonjolkan.

Benarlah perbualan dua orang lelaki yang saya tercuri dengar di kedai mamak.

Namun soalannya, berapa ramaikan dalam kalangan pembaca yang sedar hakikat perkara ini?

Akhbar tidak secara tersurat menyatakan pihak yang menjadi dukungannya.

Kalau kita ada badan khas yang mengkategorikan semua media mengikut perspektif yang diambil, pembaca tidak mudah “tertipu”.

Sebuah badan, AllSides. com, di Amerika Syarikat merintis usaha mengelaskan media mengikut perspektif liputan sesebuah media.

Agensi ini memberikan rating bagi 800 sumber media di Amerika Syarikat.

Portal ini menegaskan semua media di Amerika Syarikat bias atau berat sebelah.

Mungkin berat sebelah tidak sesuai, sebab kata ini tidak menggambarkan hal yang ingin diungkapkan.

Mungkin media memihak lebih sesuai sebagai terjemahan bias.

Apabila kita mengetahui tahap bias sebuah media itu, pembaca tidak mudah tertipu dan dipisahkan.

Pembaca mudah mengenal pasti perspektif bagi mendapatkan gambaran sepenuhnya.

AllSides.com mengelaskan media kepada lima kategori: kiri, condong kiri, tengah, condong kanan dan kanan.

Media dikelaskan “tengah” tidak semestinya sumber atau penulisnya tidak memihak, neutral, kredibel atau berfikiran rasional.

“Tengah” bermakna sumber atau penulisnya tidak dapat dijangkakan timbangan politik mereka bagi sesuatu isu, sama ada konservatif ataupun liberal.

Agensi media yang dikelaskan sebagai “tengah” termasuklah Reuters, the Wall Street Journal, BBC, USA Today. “Condong kiri” bererti media berkecenderungan liberal secara sederhana seperti agensi CNN, The Washington Post, NBC, The Guardian.

“Kiri” bererti media sangat liberal dalam spektrum politiknya seperti Newsweek, MSNBC, The Nation. “Condong kanan” bererti media secara sederhana cenderung konservatif seperti Fox News, The American Conservative, The Washington Times.

“Kanan” pula bersifat sangat konservatif dalam spektrum politik seperti Daily Mail, National Review. Pembaca yang sedar kategori ini tidak mudah tertipu.

Di Malaysia, bagaimanakah perspektif politik medianya?

• Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan.

Suara Sarawak