Media berperanan bantu cegah Covid-19

MIRI: Media memainkan peranan penting kepada masyarakat sebagai perantara yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat, kata Menteri Muda Pelancongan Datuk Sebastian Ting.

Menurutnya, ini kerana pengamal media bertanggungjawab menyalurkan maklumat yang jelas, tepat dan menjadi rujukan rakyat bagi menepis berita tidak sahih.

Beliau menjelaskan, sumbangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada mereka yang memerlukan semasa menjalankan tugasan dalam situasi sekarang amatlah penting. “Saya akan cuba sedaya upaya untuk memberi bantuan kepada petugas barisan hadapan.

“Jadi, dengan memberikan bantuan seperti PPE, mereka dapat melindungi diri sendiri ketika menjalankan tugas, misalnya kakitangan perubatan, bomba, anggota tentera, polis dan lain-lain,” katanya.

Beliau menambah, mereka bertugas di barisan hadapan untuk menguruskan kes wabak Covid-19 amat memerlukan topeng muka semasa bertugas untuk menjaga keselamatan diri sendiri.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang berbesar hati menyumbangkan PPE, melalui saya untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan yang amat memerlukannya,” ujarnya.

Sebastian menyerahkan 300 keping topeng muka kepada Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) kelmarin.

Suara Sarawak