Media cetak masih relevan

KUCHING: Penerbit berita berpangkalan di Sarawak, SV News Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik dengan kumpulan media bersepadu sepenuhnya di Malaysia, Media Prima Berhad menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SV News Dr. Jeniri Amir dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Datuk Kamal Khalid dengan disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid pada majlis yang berlangsung di Dewan Kenyalang, Kompleks Dun Sarawak, di sini.

Terdahulu Dr Jeniri dalam ucapannya, ketika akhbar di seluruh dunia mengalami zaman kemalapan, Suara Sarawak lahir sebagai akhbar baharu pada 1 Mac tahun ini.

“Ini kerana media cetak masih lagi relevan dan mempunyai peranan untuk melaporkan berita berasaskan falsafah pemberitaan yang tulen berpaksikan fakta, kebenaran dan objektiviti,” katanya.

Tambahnya, kemunculan Internet melakukan pendemokrasian penerbitan sehingga memungkinkan semua orang mempunyai peluang untuk bersuara.