Media, masa depan dan pengurangan pekerja

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BAGI mereka yang masih bekerja dalam industri media, baik wartawan, editor mahupun jurugambar, penyunting dan jurukamera, tahniah.

Anda sebahagian daripada mereka yang beruntung.

Pertama, kerana syarikat yang menjadi tempat anda bernaung dan mencari nafkah masih mampu bertahan dan bernafas.

Dan kedua, mereka (majikan) masih perlu dan memilih anda (sebagai pekerja).

Kebolehan, kearifan dan kekreatifan anda diperhati dari sudut intelek, dan syarikat menjadikannya keutamaan.

Jika anda bekerja sambil lewa; sekadar untuk mendapatkan habuan pada setiap hujung bulan; maka siap siagalah.

Mungkin anda antara pekerja sepenuh masa yang akan “dipenggal” atau “terpenggal” terlebih dahulu.

Jangan lupa akan tragedi hitam yang menimpa begitu banyak petugas media, termasuk daripada Kumpulan Utusan yang menutup buku khidmat mereka, walaupun ramai daripada mereka bekerja puluhan tahun dengan setia.

Situasi politik dan ekonomi tidak membenarkan syarikat itu terus bertahan.

Realitinya, industri media semakin berkembang. Namun keperluan kepada pekerja semakin menurun.

Kisah hitam ini bermula dengan kos bahan cetak yang semakin menakutkan.

Bayangkan harga segulung kertas cetak baik dari China, Thailand, Indonesia mahupun Vietnam, semakin tinggi, berikutan permintaan yang banyak, dan penawaran yang rendah.

Ini diikuti dengan jumlah edaran akhbar yang semakin merosot berikutan trend terkini pembaca yang kini lebih gemar membaca, mendengar dan menonton menggunakan OTT atau “Over The Top” – bagi menterjemah gajet dalam talian.

Tidak cukup dengan itu, banyak stesen televisyen di seluruh dunia turut mula mengecilkan jumlah kerja, biarpun tidak mengecilkan kapasiti operasi.

Alasannya, mengurangkan kos, meleraikan tekanan ketidakcekapan manusia.

Baca lain  Mencari calon pilihan hati

Pengurangan jumlah tenaga manusia, yang tidak lagi efisien adalah wajar.

Apatah lagi kepakaran mereka diganti oleh teknologi robot yang dilengkapi AI atau kecerdasan buatan.

Khidmat jurukamera di studio misalnya, kini tidak lagi ditangani secara manual.

Sebaliknya diuruskan menggunakan kamera AI, yang dikawal menggunakan komputer oleh seorang individu.

Justeru kerja yang selalunya dilaksanakan lapan hingga sepuluh orang pakar, kini ditangani dengan menggunakan satu komputer utama dan seorang operator.

Begitu juga apabila diadakan siaran langsung ataupun tembusan berita di sesuatu lokasi.

Sudah ada mojo atau mobile journalist yang boleh bertindak sebagai wartawan, jurukamera, malah lengkap dengan melakukan siaran langsung.

Ketika ini, sudah pun dipraktiskan di Sarawak, petugas mojo turut menerbangkan dron bagi menghasilkan hasil yang menarik.

Menurut ketua editor salah sebuah stesen tv terkemuka di negara ini, penggunaan mesin ataupun robot akan dibaca lebih cekap, lebih tepat dan menurut arahan.

Tiada isu gangguan emosi kepada majikan, pekerja degil dan memberontak, serta masalah cuti.

Pekerja robotik tidak perlu kepada caj lebih masa apabila diarah bekerja; dan ini sudah pasti menjimatkan segala-galanya.

Stesen tersebut kini sudah memulakan proses penggunaan robot, yang sebenarnya sudah dipraktis di negara Barat.

Dan secara perlahan-lahan, setiap stesen tv akan dikendalikan mungkin kurang daripada 50 petugas – satu penjimatan yang cukup besar dan kos efektif untuk kekal bersaing dalam pasaran hari ini.

Bagi stesen radio pula, juruhebah atau deejay hanya perlu berada tepat di konti apabila berlaku siaran langsung.

Baca lain  Menghargai tokoh

Jika tidak mereka akan boleh sahaja melakukan rakaman awal, dan menerbitkannya kemudian mengikut jadual yang dirancang.

Paling tidak, mereka akan melaksanakan penerbitan ala “podcast” yang kini menjadi kegilaan.

Malah tidak perlu lagi kepada jurutera bunyi yang ramai, kerana kini, telefon pintar sudah memadai untuk membolehkan suara kita didengar di radio pada kualiti yang tinggi.

Kepada wartawan pula, mana-mana wartawan kini boleh melaksanakan pelbagai tugas dalam satu masa, dengan hanya menggunakan satu set telefon pintar.

Telefon pintar boleh menjadi komputer, boleh menjadi kamera dan video.

Malah boleh melakukan siaran langsung pada masa sebenar (realtime broadcast).

Dengan perkembangan teknologi yang semakin hebat dan luar biasa ini, mana-mana syarikat dan stesen yang masih mengekalkan cara kerja lama akan ketinggalan.

Mereka bukan sahaja ketinggalan, malah terpaksa menanggung kos yang tidak perlu.

Kerana itulah pada hari ini kita melihat kebanyakan syarikatsyarikat media di seluruh dunia mula mengurangkan jumlah pekerja mereka.

Ketua Editor Kumpulan sebuah syarikat akhbar utama di negara ini, yang menerbit akhbar-akhbar besar mengakui akan hal ini.

Beliau memberi contoh yang jelas bagaimana penerbitan produk syarikatnya, perlu kepada bentuk digital untuk menarik tumpuan pembaca.

“Ini zaman baharu.

Dan sudah semestinya akan menyaksikan semakin berkurangnya pekerja pada masa depan.”

Tegasnya, pengurangan pekerja adalah realiti yang tidak dapat dielakkan pada masa depan.

Fenomena ini bukan berlaku kepada syarikat media utama sahaja, malah OTT sendiri.

Terbaharu gergasi hiburan Amerika Syarikat, Walt Disney telah mula mengeluarkan notis pemberhentian untuk lebih 7,000 kakitangan pada minggu ini.

Baca lain  MA63: Biar berengsot asalkan positif

Memetik Variety, pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Bob Iger mengesahkan perkara tersebut dan menegaskan, pemberhentian dilaksanakan dalam tiga peringkat.

Peringkat kedua membabitkan “lebih banyak” pekerja diberhentikan pada April dan peringkat terakhir akan berlaku “sebelum permulaan musim panas” menurut laporan itu.

Disney mengumumkan penamatan perkhidmatan 7,000 pekerja pada 8 Februari yang mewakili sekitar 3.2 peratus daripada 220,000 pekerjanya di seluruh dunia, dan praktis ini menyasarkan penjimatan kos AS$5.5 bilion, termasuk penjimatan kandungan sebanyak AS$3 bilion.

Selain Disney, beberapa syarikat gergasi lain turut mengambil tindakan yang sama.

Spotify yang terkenal podcast, melepaskan 600 pekerja pada Januari lalu.

Sebelum itu, Neflix telah memberhentikan 300 pekerja pada Jun 2022, manakala bulan sebelumnya, 150 orang.

Roku mengurangkan 200 pekerja pada November 2022 sementara Vox Media pada Januari melepaskan 130 pekerja.

Di Malaysia, jika ekonomi masih kekal begini, dan daya labur iklan masih gagal ditakluki, mungkin pelepasan pekerja dalam bentuk pelbagai skim perlu direalisasikan.

Justeru kepada petugas media yang telah berada di pasaran ketika ini, bekerjalah bersungguh-sungguh.

Jangan cipta alasan yang mungkin menyebabkan anda terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada bidang yang anda minati, dan menjadi tempat anda mencari sesuap nasi.

Bekerja pada tahap terbaik, kerana saingan anda di luar sana, adalah robot dan mesin bijak yang boleh berfikir terlebih baik dan bekerja tanpa henti.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Awasi jerat penipu

SEKITAR awal pagi Selasa lepas, saya menerima panggilan daripada seseorang.