SETIAP kali hujung minggu terutama hari Sabtu, pusat beli-belah seperti Riverside Majestic, Tun Jugah dan Sarawak Plaza menjadi tumpuan remaja dan pelajar sekolah sekitar penghujung 90-an dan awal tahun 2000 melepak.
Kunjungan mereka bukanlah untuk membeli belah, sebaliknya lebih kepada bertemu rakan sebaya.
Saya sendiri pernah merasai pengalaman ini — biasanya kami yang tinggal di perkampungan di tepi Sungai Sarawak menggunakan perahu tambang menuju ke tempat dituju.
Walaupun tanpa janji temu, agak mudah untuk kita bertemu dengan rakan sebaya atau orang dikenali pada ketika itu.
Pada masa tersebut, kebanyakan remaja masih bergantung sepenuhnya kepada telefon awam untuk menghubungi rakan sebaya atau kekasih.
Ada dalam kalangan remaja turut menjadikan hari Sabtu sebagai masa untuk bertemu kekasih.
Berbekalkan duit poket RM20, kita masih dapat membawa kekasih untuk menjamu selera namun, sekarang keadaan sudah jauh berbeza.
Peluang hujung minggu juga dijadikan sebagai peluang untuk menonton wayang.
Dahulu budaya lepak atau berpeleseran di pusat beli-belah atau lokasi tertentu di pusat bandar dianggap sebagai negatif.
Namun, sekarang kita melihat budaya lepak masih berlaku, namun lebih tertumpu kepada pertemuan di kedai kopi atau kafe.
Bukan sahaja remaja, golongan berpencen turut tidak ketinggalan melepak bersama-sama rakan terutama pada sebelah pagi.
Budaya lepak sebenarnya merupakan amalan berkumpul tanpa arah tujuan, matlamat, objektif, hala tuju, misi dan visi yang biasanya dilakukan oleh remaja.
Mereka memerhati orang ramai yang lalu lalang, kadang-kadang menyanyi sambil menghisap rokok atau vape.
Adakalanya mereka mengusik gadis yang laku dengan bersiul atau gelak tawa berlebihan.
Lebih membimbangkan lagi, budaya lepak sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah.
Budaya ini sebenarnya wujud atas pelbagai faktor termasuklah sikap ibu bapa.
Ada antara ibu bapa yang terlalu mengharapkan anak dididik sepenuhnya oleh guru di sekolah dan tidak mengambil berat pendidikan anak-anak.
Keadaan di rumah sebenarnya turut menyumbang kepada budaya lepak dalam kalangan remaja.
Sikap ibu bapa yang mementingkan diri sendiri, sering bertengkar atau berselisih faham menumbulkan ketakutan dan kebosanan dalam kalangan anak-anak.
Memang tidak dinafikan kecenderungan remaja melepak adalah didorong rakan sebaya.
Remaja biasanya mudah terpengaruh dengan ajakan rakan untuk mencuba perkara baharu.
Namun sejak akhir-akhir ini media massa dan elektronik turut membangkitkan keinginan remaja melepak.
Rancangan televisyen yang dihasilkan dari negara Barat sudah mendominasi separuh daripada slot rancangan disiarkan.
Ia sedikit banyak mempengaruhi remaja kita untuk mengikuti budaya remaja di luar negara. Sekarang kita melihat budaya lepak bukan hanya melibatkan remaja.
Pada setiap hujung minggu kita akan mendengar suara gelak ketawa dan girang kanak-kanak memeriahkan suana di tengah bandar raya Kuching terutama Tebingan Kuching sehingga tengah malam.
Orang ramai yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur kelihatan berada dalam kawasan tumpuan tersebut termasuk bayi.
Malah terdapat ibu bapa yang membawa bayi mereka dengan hanya menutup wajah anak dengan tuala kecil tanpa meletakkan anak di dalam kereta sorong bayi yang lebih selamat apabila berada di kawasan tumpuan.
Kelihatan juga beberapa kanak-kanak yang terlentok di riba ibu — mengantuk menunggu untuk pulang ke rumah.
Tidak lupa juga, suara tantrum anak kecil yang kepenatan selepas bermain.
Lebih daripada itu, beberapa kanak-kanak dan remaja mengaku datang sendiri tanpa ditemani ibu bapa. Mereka sudah pasti menyatakan sudah mendapat restu ibu bapa untuk melepak bersama-sama rakan sebaya.
Bukan sahaja diberi kebenaran, mereka turut dibekalkan dengan sedikit wang tunai.
Lebih memeranjatkan lagi, terdapat remaja yang berusia 15 hingga 17 tahun pergi melepak menggunakan kenderaan e-panggilan.
Bagi mereka yang lebih berusia, melepak di tempat tumpuan adalah untuk menghilangkan stres.
Di sekitar Tebingan Kuching, kita sebenarnya dapat mendidik generasi muda mengenai sejarah dan warisan kerana terletaknya banyak bangunan bersejarah.
Ramai tidak tahu, budaya lepak sekarang sebenarnya membantu usahawan kecil menjana pendapatan.
Ini kerana terdapat pelbagai jenis jualan diusahakan di kawasan tumpuan.
Kebanyakan peniaga menjual minuman, snek ringan, buahbuahan dan permainan kanakkanak.
Apa-apa sahaja tanggapan kita terhadap budaya ini, melepak sebenarnya lebih memberi kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Sebagai contoh, remaja akan kurang kemahiran dan mempunyai taraf pendidikan rendah.
Mereka juga banyak menimbulkan masalah dan menjadi beban kepada ibu bapa.
Selain itu, terdapat segelintir remaja kini tidak menghormati orang tua kerana terpengaruh dengan budaya lepak.
Mereka lebih gemar menggunakan kata-kata kasar dan kesat yang akan menyakitkan hati orang tua.
Akibatnya, ramai remaja sudah tidak mengenal nilai murni yang terdapat dalam budaya tempatan.
Masalah remaja lepak juga boleh merosakkan akhlak dan kehidupan mereka.
Dari segi pergaulan, budaya Timur atau budaya tempatan mengehadkan pergaulan antara lelaki dengan wanita.
Pendek kata, tidak ada pergaulan bebas yang dibenarkan dalam budaya tempatan untuk mengelakkan perkara sumbang daripada berlaku.
Setiap daripada kita diberikan akal fikiran.
Kita perlu bijak untuk mentafsir kebaikan atau keburukan melepak.
Kita perlu pandai membezakan antara melepak dengan beriadah.
