Memancing patin di Pogong Sondin

MUNGKIN ramai tidak mengetahui kewujudan Kampung Semeba di Kuching.

Lebih menarik, terdapat kolam memancing ikan di Kampung Semeba dikenali sebagai Pogong Sondin sesuai sebagai destinasi keluarga pada hujung minggu.

Untuk Spot Memancing kali ini, sekiranya ingin ke Pogong Sondin dari Kuching anda perlu masuk ke Kampung Haji Baki dan mencari lorong No. 10 sebelum belok kiri di simpang yang ada patung ikan.

Setibanya di kolam ikan tersebut, anda disambut dengan pemandangan kolam menenangkan dan hamparan langit biru.

Sekali sekala, anda dapat menyaksikan kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di langit.

Antara ikan terdapat di Pogong Sondin adalah ikan keli, patin, sultan dan banyak lagi.

Anda dibenarkan membawa peralatan memancing sendiri dan untuk setiap ikan berjaya ditangkap, sekiranya ingin membawa pulang anda hanya dikenakan bayaran RM7 per kilogram.

Peralatan memanggang juga boleh disewa daripada pemilik kolam untuk pengunjung yang ingin memanggang ikan terus di situ.

Suara Sarawak