ARTIKEL

Membaca Indonesia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BARU-BARU ini sekali lagi saya berkesempatan berkunjung ke Indonesia untuk kesekian kali sejak menjejakkan kaki untuk pertama kali di negara 17,500 pulau itu pada 1992.

Indonesia dengan lebih 300 suku kaum sentiasa menjadi besi berani dan menarik perhatian saya.

Ya, dengan pelbagai ragam manusia, budaya, makanan dan peristiwa yang sentiasa menggelegak. 

Satu daripada faktor Indonesia, dan secara khususnya Jakarta dan Bandung menjadi perhatian saya adalah kerana buku dan majalahnya. 

Suatu waktu, saya ke negara itu sekurang-kurangnya dua kali setahun, hanya untuk membeli buku.

Buku Indonesia pertama yang saya baca ialah Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer ketika menuntut dalam tingkatan enam.

Novel itu memaparkan kisah tragis dalam tempoh tiga hari tiga malam di Jakarta ketika zaman revolusi di Indonesia pada 1947. 

Sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang.

Membeli dan membaca buku dan majalah Indonesia menjadi satu daripada obsesi dan kegilaan saya untuk puluhan tahun.

Tidak hairanlah buku Indonesia menyumbang sebanyak sekitar 15 peratus daripada koleksi perpustakaan saya.

Baru-baru ini, saya sempat ke gedung beli-belah Indonesia dan seperti biasa membeli dua majalah mingguan terkenal Indonesia.

Tidak seperti sebelumnya dan seperti nasib yang dialami majalah di negaranegara lain, kebanyakan majalah Indonesia sudah terkubur.

Ketika dunia penerbitan rancak tumbuh dan berkembang, jumlah majalah di Indonesia mencecah ribuan jenis yang diterbitkan di pelbagai kota dan bandar.

 Setiap satu dengan dasar editorial, gaya dan sasarannya yang tersendiri.

Namun Tempo dan Gatra menjadi dambaan dan bacaan wajib saya.

Majalah berkenaan bertahan di pasaran sehingga kini meskipun dengan jumlah iklan yang menipis.

Semangat dan rohnya tetap sama.

Membaca Tempo dan Gatra bagai membaca Indonesia. Penerbitan majalah mingguan di Indonesia, seperti Tempo dan Gatra, memainkan peranan penting dalam menyediakan platform untuk pemberitaan, analisis, dan refleksi mengenai perkembangan politik, ekonomi, sosial, dan budaya di negara ini.

Majalah-majalah ini tidak hanya menjadi sumber informasi terkini yang penting bagi pembaca, tetapi juga berperanan sebagai agen perubahan sosial dan politik.

Untuk keluaran terbaharu, tumpuan editorial adalah pada isu pemilihan calon presiden.

Daripada kulit luar, kita sudah dapat membayangkan, apa yang sebenarnya berlaku di sebalik pemilihan presiden itu.

Tempo misalnya, memaparkan tajuk Bayang-Bayang Pemilu Curang dan Noda Satu Putaran.  

Seperti yang kita sedia maklum, gandingan pasangan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming, menurut hitung cepat meraih sekitar 58 peratus undi, sekali gus mengelakkan pemilihan untuk pusingan kedua.

Tempo menjadi kegemaran bacaan saya sejak puluhan tahun kerana liputannya yang berkecuali, bahasanya yang menarik, olahan tulisan yang memikat, dan tajuk yang memiliki daya besi berani.

Tempo majalah mingguan terkemuka di Indonesia yang mulai beredar di pasaran pada 1971 oleh Goenawan Mohamad dan para wartawan lainnya.

Majalah ini memainkan peranan kunci dalam sejarah jurnalisme Indonesia, terutama selama era Orde Baru apabila kebebasan media dibatasi secara ketat.

Tempo sering kali memperjuangkan kebebasan berpendapat dan menghadapi tekanan daripada pemerintah.

Gatra, yang mulai terbit pada 1994 selepas Tempo diharamkan oleh rejim Suharto.

Majalah ini yang diasaskan oleh Bob Hasan, mempunyai pengaruh yang cukup besar di Indonesia.

Meskipun tidak sepopular dan sehebat Tempo, Gatra tetap menjadi sumber informasi yang penting dengan liputan yang mendalam mengenai berbagai-bagai isu, terutama politik, isu semasa dan dasar awam. 

Saya masih ingat ketika berkunjung ke pejabat Gatra sekitar 15 tahun lalu, slogan yang dipaparkannya ialah “Baca Gatra, Baru Bicara”.

Maksudnya, Gatra wajib dibaca kerana ia sumber yang berwibawa untuk memahami isu semasa yang berkembang dalam negara.

Hanya apabila seseorang membaca Gatra, baru mereka dapat mengupas dan berbicara berkaitan pelbagai isu dalam negara.

Kedua-dua majalah berkenaan secara rutin menerbitkan artikel, laporan penyiasatan dan wawancara dengan tokoh-tokoh penting.

Mereka juga menyediakan platform bagi para penulis dan wartawan bebas untuk menyumbang tulisan analitis mereka.

Majalah berkenaan juga memiliki edisi dalam talian yang memperluas jangkauan pada era digital.

Dengan menghadirkan kandungan digital, Tempo dan Gatra dapat menjangkau pembaca yang lebih luas dan memperkuat keberadaan mereka dalam industri media yang terus berubah.

Namun, penerbitan majalahmajalah ini tidak selalu berjalan mulus.

Sebenarnya, Tempo dan Gatra sering menghadapi ujian dan cabaran seperti tekanan politik, persaingan dengan media dalam talian yang semakin berkembang, serta kendala kewangan yang mungkin timbul kerana perubahan perilaku pembaca media.

Majalah itu juga harus menyesuaikan diri dengan perubahan trend, cita rasa dan kecenderungan pembaca.

Dalam menghadapi tantangan ini, Tempo dan Gatra terus berusaha untuk tetap relevan dengan menyajikan kandungan editorial yang berkualiti tinggi, mendalam, menarik dan berimbang.

Sesungguhnya, penerbitan majalah mingguan seperti Tempo dan Gatra memainkan peranan yang penting dalam mendorong dan merancakkan demokrasi, kebebasan berpendapat, dan akuntabiliti di negara 280 juta jiwa itu.

Meskipun mereka menghadapi pelbagai cabaran, kedua-dua majalah itu tetap menjadi antara sumber informasi yang paling diperlukan dan berpengaruh dalam masyarakat Indonesia.

• Dato Dr Jeniri Amir, Felow Kanan Majlis Profesor Negara ialah peminat buku dan majalah Indonesia.

BERITA LAIN

Kita saling mengingati

PADA minggu depan minggu terakhir 20 pelatih universiti akan menamatkan latihan industri di organisasi kami. Sesungguhnya kami berbangga kerana menjadi pilihan universiti meletakkan pelajar mereka

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

BERITA TERBARU