Trending

Membangun negara MADANI

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BUKU setebal 187 muka surat ini menggariskan aspek merangkumi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan.

Skrip ini ditulis oleh Anwar Ibrahim sebelum beliau menjadi Perdana Menteri yang ke-10 dan Menteri Kewangan Malaysia.

Menerusi buku ini, beliau turut menekankan dasar rangka kerja bagi memenuhi keperluan serta potensi masa depan negara.

Buku ini turut menyebut rencana dan kerangka besar pemikiran yang dapat dijadikan sebagai perbincangan dengan melihat kepada dasar, isu kemampanan ekonomi dan ihsan.

Madani merupakan suatu kerangka polisi, dasar dan misi visi yang dipacu dengan nilai moral sama ada dalam hal urus tadbir tempatan mahupun ekonomi.

Anwar Ibrahim turut menekankan setiap aksara MADANI itu, meliputi maksud dan gambaran yang ingin dibawa oleh dalam mencorak perjalanan Malaysia.

Ia merangkumi keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Enam nilai ini menjadi aspirasi utama dalam menggerakkan Malaysia supaya menjadi negara makmur dan maju daripada pelbagai sektor.

Namun, kesemua nilai ini tidak berfungsi secara berasingan tetapi ada keterkaitan yang rapat dengan kebergantungannya antara satu sama lain, menjadikan segala dasar yang digubal menjadi lebih manusiawi.

Konsep Madani antara lain adalah untuk mengangkat martabat manusia dan menegakkan keadilan menjadi asas penting.

Beliau turut meletakkan Islam pada kedudukan yang sangat istimewa kepada manusia.

Antara konsep penting ditekankan dalam masyarakat Madani ialah dari segi keseimbangan dan mampan.

Menurut beliau, keseimbangan ini memberi keadilan kepada seluruh rakyat tanpa melakukan diskriminasi, kezaliman dan penindasan. Membangun Malaysia Madani menepati elemen keterangkuman bagi membina masyarakat bertamadun.

Menerusi buku ini, Anwar juga ingin menjadikan sektor ekonomi sebagai tumpuan bagi mengecilkan jurang kekayaan antara golongan miskin dengan kaya.

Beliau turut menekankan untuk memulakan reformasi percukaian yang sistematik dengan kenaikan cukai secara berperingkat bagi yang berpendapatan RM11,000 dan ke atas setiap bulan.

Selain itu, buku ini turut menekankan isu dasar dan polisi yang banyak menyentuh berkenaan penyelesaian terhadap permasalahan yang wujud.

Sebagai contoh pengecilan jurang piawaian antara golongan M40 dengan B40.

Sinopsis: Kerangka Madani merupakan suatu ikhtiar yang bersepadu dan holistik: kesemua enam komponennya tidak berfungsi secara berasingan; ada kesalinghubungan yang rapat antara setiap komponen, sementara ketergantungan mereka antara satu sama lain menjadikan segala dasar yang digubal menjadi lebih manusiawi, yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

Justeru secara koletifnya, kerangka ini akan meletakkan asas untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum.

Anjakan demi anjakan yang berlaku begitu pantas memaksa kita untuk mengambil kira keadaan persekitaran yang sentiasa berubah-ubah.

Namun kita tidak akan bermula dengan sifar.

Sejarah Malaysia yang panjang dan kaya menjadi landasan utama dan daripadanya kita belajar memperbetul kesilapan serta membuka jalan menuju kejayaan.

Latar Belakang: Sebelum menjadi Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan Malaysia, Anwar Ibrahim merupakan mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia.

Beliau juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Ketua Pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan. Anwar juga merupakan Pengerusi Emeritus, Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) dan Pengerusi Centre for Islam in the Contemporary World (CICW).

Beliau pernah memegang portfolio sebagai Menteri Pelajaran, Menteri Pertanian dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Ketika menjadi penjawat awam, Anwar Ibrahim memegang beberapa jawatan penting seperti Presiden Kehormat Account Ability, Ahli Lembaga Penasihat Kumpulan Krisis Antarabangsa, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia dan juga Presiden Persidangan Umum Unesco.

Beliau pernah menjadi pengajar di Kolej St. Anthony di Universiti Oxford, Sekolah Pengajian Antarabangsa Lanjutan di Universiti John Hopkins dan Sekolah Perkhidmatan Asing di Universiti Georgetown.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Jadi lebih baik

TAJUK: MENCARI MAKNA HIDUP PENERBIT: PTS MILLENNIA SDN. BHD. PENULIS:

Amukan Prebet Adam

BUKU bertajuk Konfesi Prebet Adam yang ditulis oleh Syahril A.

Perjalanan dunia koma

BERSEDIAKAH kita pergi ‘sebelum waktunya? Apakah kita cukup bersedia meninggalkan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru