Membesarkan orang asal digital

Ketika ke pasar raya, kita bersua anak kecil yang duduk dalam troli sambil memegang telefon pintar. Mata anak-anak kecil ini terpaku kepada skrin kecil sambil ibu bapa membeli-belah.

Anak-anak ini secara nalurinya mengetahui bagaimana untuk mencapai bahan di internet. Semua ini dilakukan mereka dengan sentuhan jari-jemari.

Jari-jemari mereka menari-nari pada skrin telefon pintar. Mereka lebih cekap menggunakannya berbanding ibu bapa yang menolak troli.

Generasi selepas alaf baharu ini dikatakan lahir dengan telefon pintar di tangan mereka. Ibu bapa lebih sanggup anak-anak ini ditemani telefon pintar daripada meninggalkan mereka di rumah dengan pengasuh.

Membiarkan anak kecil menggunakan telefon pintar tanpa diajar bagaimana menggunakannya dengan betul adalah kesilapan besar. Anak-anak dibiarkan menggunakan gajet lebih empat jam sehari adalah kesilapan besar kedua.

Telefon pintar kini mengambil alih tugas asuhan yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa. Ibu bapa yang bekerja dahulunya mengambil pengasuh untuk menjaga anak mereka. Kini, tempat pengasuh digantikan dengan telefon pintar.

Alasannya, orang gaji semakin sukar didapati. Sekiranya ada, gaji yang diminta oleh pengasuh ini terlalu tinggi. Sebagai ganti, ibu bapa membiarkan telefon pintar mengasuh anak-anak kecil mereka.

Perunding Pendidikan

Anak-anak kecil ini yang kini sudah dewasa digelar perunding pendidikan, Marc Prensky (2001) sebagai orang asal digital. Istilah ini dipopularkan beliau enam tahun lebih awal daripada kelahiran iPhone Steve Jobs yang mencetuskan revolusi telefon pintar.

Orang asal digital ini turut dikenali sebagai generasi i, yang lahir sekitar 1995. Generasi ini juga dikenali sebagai generasi z. Bapa kepada generasi ini yang dilahirkan selepas 1965 dikenali selepas generasi x. Generasi ini diikuti oleh generasi y yang dilahirkan selepas 1980. Semua yang dilahirkan sebelum generasi i dikenali sebagai pendatang digital oleh Prensky.

iPhone bukan telefon pintar pertama sebab sudah wujud Nokia, Blackberry dan seumpamanya. Namun reka bentuk dan mudah guna amat terhad. Kelahiran telefon pintar dirangsangkan dengan rangkaian 3G pada 2001 yang memudahkan telesidang video dan lampiran besar dihantar menerusi e-mel.

Mereka yang lahir pada 2000 kini sudah berumur 19 dan memasuki universiti. Mereka ini lebih cekap menggunakan teknologi berbanding guru di sekolah mahupun pensyarah yang mengajar di universiti swasta dan awam.

Pensyarah generasi x yang masih mengajar di universiti, ada yang terkial-kial menggunakan komputer bimbit dalam kelas masing-masing.

Semua ini menuntut perubahan semua pihak, termasuk ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Sebelum menyerahkan dan menjadikan telefon pintar sebagai pengasuh anak-anak kecil, ibu bapa perlu renung sebentar adakah ini langkah terbijak?

Beraneka Bahan

Internet dipenuhi dengan beraneka bahan; yang baik dan yang buruk. Anak kecil bawah umur 7 tahun tidak dapat membezakan bahan yang baik daripada yang buruk.

Begitu juga dengan anak kecil di sekolah rendah dan menengah. Sebagai ibu bapa, kita perlu membimbing dan memerhatikan apa-apa yang dilihat pada skrin kecil telefon pintar. Apakah yang dapat anda lakukan?

Anak-anak yang kecil atau umur remaja harus dihadkan masa penggunaan telefon pintar. Setiap hari, jangan biarkan mereka menggunakan gajet melebihi dua jam.

Kajian sarjana media mendapati penggunaan lebih empat jam sehari tergolong sebagai pengguna berat. Sekiranya tidak dipantau mereka bakal menjadi penagih media.

Kajian MCMC (2018) menunjukkan mereka yang berumur bawah 20 tahun melayai internet sebanyak 6.7 jam sehari. Sejumlah 93.1 peratus rakyat Malaysia melayai internet menggunakan telefon pintar, komputer riba (44.2 peratus), desktop (28.1 peratus), tablet (20.4 pera- tus), TV pintar (12.3 peratus).

Dari satu segi, angka ini menunjukkan betapa masyarakat negara ini semakin celik teknologi maklumat.

Dari segi lain pula, angka ini memerihalkan kebanyakan pengguna media di negara ini boleh terjerumus sebagai penagih media.

Senario ini memerlukan ibu bapa menyedari tugas dalam mendidik anak yang tergolong sebagai orang asal digital. Jangan biarkan mereka menggunakan telefon pintar tanpa kawalan.

Ibu bapa perlu menegur anak-anak apabila mendapati mereka menonton video atau memuat turun permainan yang tidak selari dengan budaya setempat.

Video yang menunjukkan pembunuhan dan aksi kejam lain perlu disekat. Apabila kita melihat mereka menyaksikannya, gunakan kesempatan ini untuk mengasuh nilai baik dan buruk.

Guna Waktu Malam

Tentukan masa anak-anak dibenarkan menggunakan telefon pintar. Masa terbaik anak dibenarkan menggunakan telefon pintar ialah waktu malam apabila ibu bapa di rumah. Itu pun selepas kerja sekolah telah selesai. Selepas dua jam, ambil gajet.

Selepas masa gajet, tanya apa yang dilihat dan dilayari oleh anak-anak. Periksa apakah yang dikatakan mereka dengan melihat cache internet. Kita akan tahu sama ada mereka bercakap benar atau sebaliknya. Jika mereka berbohong, selidik apakah puncanya. Gunakan kesempatan ini untuk mengajar mereka agar bercakap benar setiap masa.

Kita mungkin ibu bapa yang buta teknologi, tetapi ini tidak bererti kita boleh buta hati. Anak-anak adalah amanah. Kita mendidik mereka menjadi pengguna media bijak.

• Prof. Madya Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan pensyarah di Program Komunikasi Strategik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.