Memperkasa ekonomi bumiputera

KUCHING: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memberi peluang kepada usahawan khususnya golongan bumiputera yang mempunyai kreativiti dan inovatif untuk bergiat aktif dalam bidang perniagaan.

Teraju turut menggalakkan semua usahawan bumiputera berusaha merancakkan ekonomi dan taraf hidup masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju Md Silmi Abd Rahman menjelaskan, Teraju memainkan peranan penting untuk menerajui dan menyelaras agenda bumiputera demi meningkatkan penguasaan bumiputera dalam ekonomi negara.

“Pelbagai aktiviti dijalankan sebagai usaha untuk memperkasa ekonomi bumiputera Sarawak antaranya melalui pewujudan Anjung Usaha di bawah Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya, pelbagai usaha dan aktiviti dilakukan untuk membantu rakyat Sarawak, namun pendedahan tentangnya masih belum begitu meluas.

Oleh itu, Teraju merancang untuk bekerjasama dengan lebih erat bersama-sama pihak universiti dan media demi membantu khususnya golongan usahawan muda.

Tambahnya, pelbagai projek sedang dijalankan untuk membantu usahawan sederhana untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat.

Antara projek diperkenalkan ialah projek ikan salai di Pulau Bruit, gula apong dan hasil produk bumiputera iaitu madu gula apong.

Suara Sarawak