KALAU ada pemuda Melayu yang berhubungan dengan Maji misalnya, tentulah konfl ik yang lain yang dapat dibayangkan oleh pengarang.
Begitu juga dengan kemungkinan yang lain, misalnya kalau ada orang kerajaan yang sentiada bersama-sama Tuai Ungga diwujudkan, lebih-lebih lagi kalau kegemarannya ialah ngayap tentulah konfl ik dalam cerita itu lebih banyak, lebih panjang ceritanya dan sebagainya.
Kerana bayangan kemungkinan inilah yang menjadi salah satu sebab saya mengambil keputusan mengatakan novel kecil ini sebagai sebuah novelet sahaja.
Jangan lupa, kekuatan dan keistimewaannya tetap ada. Kerana kekuatan dan keistimewaan inilah, ulasan ini diusahakan.
Jong Chian Lai juga dapat dikesani begitu teliti bermain dengan situasi untuk mewujudkan lojik perwatakan semua watak dalam ceritanya.
Umpamanya, dalam keadaan pindah (pertama) kerana keadaan itu begitu, tidak ada sesiapa pun yang mengaku tidak pernah mengata Ungging.
Bagaimanapun apabila sebilangan penduduk Kampung Tegelam terpaksa kembali ke rumah panjang asal mereka kerana rumah panjang mereka yang baru hangus, ada pula yang merasionalkan bahawa mereka harus kembali ke rumah panjang Ungging itu kerana mereka tidak pernah mencaci Ungging.
Lihat sahaja betapa manusia pandai memainkan peranan dan mengambil peluang, sekalipun menangguk di air keruh kerana kepentingan peribadi.
Saya berkata demikian kerana apabila mereka berpindah kali yang kedua, mereka tetap meninggalkan Ungging keseorangan, sedangkan bagi saya mereka masih ada cara yang lain untuk pindah bersama-sama Ungging misalnya sama-samalah berpindah ketika sudah tidak ada pilihan iaitu apabila rumah panjang lamanya sudah tenggelam.
Bagaimanapun, tentulah Jong Chian Lai mempunyai sebabnya yang tersendiri untuk menamatkan ceritanya demikian walaupun saya mempunyai rasional untuk membayangkan masih adanya usaha untuk mengajak Ungging berpindah kalau benar berpindah itu penting dalam konteks perikemanusiaan.
Begitulah peri hal watak dan perwatakan dalam perbincangan yang singkat ini dan saya beranggapan bahawa selain plotnya yang kemas, watak dan perwatakannya juga menjadi elemen struktural sastera yang kuat dalam novel kecil Jong Chian Lai ini.
PINDAH DALAM LATARNYA
Aspek latar tidak kurang pentingnya dalam sesebuah karya seni sastera malah penting — sepenting aspek struktural sasteranya yang lain juga.
Kerana kepentingan itu, saya berpendapat ba hawa menyorot novelet Pindah dari sudut latar menjadi penting dan perlu.
Usaha ini diasaskan.
Maksud latar yang paling dangkal ialah setting atau tempat berlakunya cerita itu nama tempatnya, alam sekelilingnya, pemandangannya.
Bagaimanapun apabila latar atau setting itu dilihat secara lebih mendalam, ada sekurang-kurangnya empat perkara utama yang dapat dipancarkan daripadanya untuk menampakkan kepentingannya dalam sesebuah karya seni sastera.
Tugas utama latar seperti yang pernah dinyatakan oleh A. Bakar Hamid (1983: 30) ialah memberi suasana kepada peristiwa-peristiwa dan manusia yang terdapat dalam sesebuah cerita.
Dengan adanya ruang, waktu dan suasana, peristiwa dan manusia menjadi konkrit dan tidak dirasakan berlaku dan wujud dalam vakum.
Sekurang-kurangnya ada empat perkara atau unsur yang utama dalam latar sesebuah cerita, iaitu:
1. Tempat
2. Pekerjaan dan cara hidup para watak
3. Waktu dan zaman peristiwa berlaku
4. Suasana umum berkenaan watak yang diperwatakkan.
Suasana ini termasuklah agama, moral, emosi, mental, pendidikan dan semua aspek kemasyarakatan yang lain.
Kesemuanya beradun sedemikian rupa untuk membentuk satu elemen strukturan sastera yang penting.
TEMPAT
Novelet Pindah mengetengahkan latar tempat yang real sekurang-kurangnya pada idealisme gagasan pengarang yang tidak semestinya wujud di Batang Ai itu sendiri.
Bagaimanapun semua peristiwa dalam novel ini dapatlah dikatakan berlaku di tempat yang nyata (juga dapat diterima akal) dengan elemen latar yang real juga seperti Lubok Antu, Batang Ai (empangan Batang Ai).
Kerana realiti yang cuba dibawakannya itu, membaca novelet ini dirasakan kita benar-benar dibawa oleh pengarang menjelajah ke alam nyata di tempat itu sendiri.
Rumah panjang orang Iban yang dipaparsenikan oleh pengarang dengan kata-kata (bahasa) merupakan latar yang ideal untuk watak seperti Ungging yang begitu konservatif, kontroversi, kolot dan neurosis.
Latar yang nyata (yang lojik juga) ini membolehkan Jong Chian Lai melukiskan kegiatan semua wataknya secara yang terperinci, termasuklah bagaimana Ungging mengintip Sindong mandi sebelum mereka menjadi laki bini dulu.
Turun naik orang Iban dari rumah panjang mereka, apa yang ada di bawah rumah mereka, apa kegiatan mereka, bagaimana mereka naik tangga kayu bulat bertakah dan sebagainya menjadikan kita berasa puas menikmatinya.
PEKERJAAN DAN CARA HIDUP WATAK
Aspek latar kedua yang membantu kita menikmati sebuah karya seni sastera ini kerana dapat membantu kita memikirkan dan meniliti masalah hidup yang mereka hadapi akibat pertentangan antara yang mahu pindah dan yang enggan pindah kerana keperluan pembinaan empangan Batang Ai (pembangunan negeri).
Dalam perspektif inilah saya berasa bahawa konfl ik yang tidak harus dikesampingkan apabila membincangkan novel ini ialah konfl ik antara penduduk tempatan (Ungging) dengan kerajaan (pembinaan empangan Batang Ai).
Masalahnya kecil sahaja sebenarnya kalau Ungging dibunuh sahaja di awal cerita tetapi Jong Chian Lai tidak mematikan watak ini walaupun cerita sudah ditamatkan.
Inilah juga yang menguatkan cerita ini.
Adanya aspek latar yang kedua ini membantu kita menerima masalah-masalah sosiopsikologi orang Iban secara keseluruhannya khususnya yang berperang dengan fenomena pembangunan dapat membina rasa kepuasan minda dalam diri kita.






