ARTIKEL

Menangani kemarau Kreativiti berdasarkan pengalaman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

WRITER’S BLOCK atau “kemarau kreativiti” menjadi sesuatu yang memerangkap penulis ketika menghasilkan karya sama ada sajak, cerpen, novel, kertas kerja dan sebagainya.

Semua penulis akan menghadapi permasalahan ini. Kemarau kreativiti ialah keadaan apabila penulis mengalami kemerosotan kreativiti semasa menulis genre yang berkenaan ataupun ketika ingin menghasilkan karya yang terbaharu.

Kemarau kreativiti itu menjadi seperti tembok penghalang kesinambungan aliran kreativiti penulis untuk meneruskan tulisan dan langsung menamatkannya.

Maka saya menamakannya sebagai “kemarau kreativiti” atau tembok penghalang kreativiti penulis.

Berdasarkan definisi “seorang penulis kreatif”, tentunya kekangan tembok penghalang kreativiti ini berbeza antara penulis baharu dan penulis yang telah berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Seorang penulis yang berpengalaman tidak begitu ketara menghadapi permasalahan tembok penghalang kreativiti ini.

Pengalaman seorang penulis akan membantunya untuk lekas atau mudah mengatasi tembok penghalang kreativiti tersebut.

Ataupun mengalami writer’s block untuk sementara atau tempoh masa yang singkat sahaja.

KERING IDEA

Tembok penghalang kreativiti ini melangkaui pelbagai permasalahan seperti tidak dapat menulis hasil karya yang baharu, sukar untuk memulakan sesuatu hasil karya dan sering kalinya terhalang antara plot, bab, konflik dan sebagainya yang menyebabkan sesebuah manuskrip tidak dapat diselesaikan sehingga noktah terakhir.

Hal ini menyebabkan banyak manuskrip tertinggal sebagai draf yang tidak dapat diselesaikan sehingga beberapa tahun mendatang.

Ada kemungkinan juga, penulis akan mencuba untuk menyelesaikan draf tersebut tetapi kemarau kreativiti masih menghantuinya.

Ada sajak, cerpen dan genre lain tidak dapat diselesaikan untuk diterbitkan sebagai bahan bacaan umum.

Menurut Edmund Bergler, istilah writer’s block ini terjurus pada komponen kognitif apabila proses minda untuk berfikir, membaca, mempelajari sesuatu, mengingati, proses penaakulan, memproses informasi menjadi pengetahuan dan kemudiannya membuat keputusan dan tindakan.

Tembok penghalang kreativiti merupakan gangguan kebiasaan dalam kalangan penulis di semua peringkat.

Faktor-faktor penghalang itu terdiri daripada stres, kerunsingan/ kebimbangan, keyakinan diri dan berasa diri tidak mempunyai semangat atau sumbangan tidak mendapat penghargaan yang setimpalnya.

Adakah benar faktor-faktor ini ialah tembok penghalang kreativiti penulis?

Ada beberapa faktor yang mencetuskan writer’s block tanpa disedari oleh ramai penulis.

Mengkritik diri sendiri menjadi salah satu penyebab utama penulis gagal menyelesaikan sebuah tulisan.

Kebiasaannya, wujud kecenderungan ke arah membuat penilaian yang negatif pada diri, merasai diri tidak dihargai, gagal dan berasa bersalah jikalau tulisannya tidak mencapai jangkaan pembaca.

Keadaan ini akan berlaku kepada penulis yang baharu menceburkan diri dalam dunia kesusasteraan ini.

Pada saya secara peribadi di takat ini, tentu jawapannya “TIDAK”.

Apabila telah begitu banyak menulis dan mencapai kematangan dalam kepenulisan, maka perkara seperti di atas akan nyah tanpa disedari oleh penulis.

Kebiasaannya ketika menghasilkan karya, saya tidak pernah membuat penilaian negatif atau positif terhadap novel dan cerpen yang ditulis.

Saya menafsirkan bahawa penilaian terhadap hasil karya adalah tanggungjawab pengulas dan pengkritik yang tentunya lebih kompeten dalam bidangnya.

Apabila pengkritik menyatakan sesuatu yang kurang baik mengenai hasil karya, maka kita anggap perkara itu satu pengetahuan dan pengajaran untuk mematangkan hasil karya.

Pengkritik juga harus memainkan peranan secara jujur dalam kritikannya.

Kalau kritikan hanya mengenai yang baik-baik tentang hasil karya, maka kepenulisan kita tidak akan melangkah lebih jauh daripada itu.

Kita tidak akan dapat belajar daripada kesalahan dalam bidang kepenulisan ini.

Kita perlu membebaskan diri daripada “rasa bersalah” terutama terhadap keupayaan kendiri kerana daya kreativiti setiap penulis berbeza berdasarkan pengetahuan dan pengalaman masing-masing.

TOLAK UNSUR NEGETIF

Ada beberapa faktor lain juga mempengaruhinya.

Maka dengan itu tidak timbul soal “diri tidak dihargai”, “gagal” dan “hasil karya tidak mencapai jangkaan pembaca”.

Pemikiran sebegitu tidak akan ternoktah selagi kita memikirkannya.

Kita harus bersabar, konsisten dan tabah dalam bidang kepenulisan sekiranya perkara-perkara negatif itu mendatangi penulis.

Kekadang kita harus melupakan perkara negatif itu supaya kita dapat mengatasi kemarau kreativiti tersebut.

Kedua, penulis kebiasaannya ingin membuat perbandingan hasil karya.

Penulis berasa ada kebimbangan hasil karyanya tidak dapat bersaing atau mempunyai tahap penilaian yang sama dengan penulis yang sedia ada.

Penulis tersebut akan menulis untuk mencapai tahap setaraf penulis yang dikagumi yang menyebabkan berlakunya tembok penghalang kreativiti itu.

Memang baik kita membaca begitu banyak hasil karya kesusasteraan di negara kita dan luar negara.

Pembacaan begitu memberi ruang untuk menambahkan pengetahuan dan pengalaman dari segi seni kreativiti.

Ada falsafah mengatakan bahawa adalah lebih baik kita menyaingi diri sendiri daripada mengatasi orang lain.

Apakah perlu kita bersaing dengan penulis lain?

Tentu jawapannya adalah “TIDAK”.

Jangan penulis terperangkap dengan perkara persaingan.

Tentunya sebagai penulis baharu, perkara tersebut mungkin tidak mudah dicapai dalam masa yang singkat.

Kita perlu banyak membaca cerpen dan novel penulis di Malaysia dan luar negara tetapi hanya untuk menambah pengetahuan dan pengalaman, bukannya untuk menyaingi mereka.

Jika kita menulis untuk cuba mencapai setaraf mereka, dan kalau tidak tercapai, apakah kita bersalah dan mengalah?

Agak mustahil misalnya untuk menyaingi hasil karya seorang Sasterawan Negara.

Semasa menulis, saya tidak terfikir untuk menyaingi penulis lain kerana beberapa sebab, iaitu: (i) Pengetahuan dan pengalaman.

(ii) Tahap pendidikan. (iii) Pencapaian ilmu bantu.

(iv) Ilmu dalam bidang kesusasteraan. (v) Latar belakang kehidupan penulis.

Seharusnya kita menulis berdasarkan keupayaan penulis seperti (i) sehingga (v) di atas ketika dalam proses menghasilkan karya.

PENULIS HEBAT

Langsung dalam persaingan ini, kita harus melupakan “apakah kita harus mencapai satu penilaian setaraf dengan penulis hebat”.

Barangkali kita mudah lupa bahawa perkara (i) sehingga (v) itu akan membantu kita dalam jangka masa yang lama untuk mencapai taraf sepadan dengan penulis hebat.

Kita tidak akan menjadi penulis hebat dalam tempoh yang singkat.

Kebarangkaliannya ada tetapi tidak ramai penulis yang hebat sebegitu.

Ketiga, penulis mungkin tidak mendapat penghargaan dan perhatian yang menyebabkan permasalahan di atas.

Kemungkinan sesudah menghasilkan satu karya, tidak mendapat penghargaan, ulasan, kritikan atau perhatian daripada sesiapa pun menyebabkan kemerosotan kreativitinya.

Adakah writer’s block yang menjadi penghalang atau kerana rasa ‘malas’ dek tidak dihargai oleh sesiapa ?

Haruskah ada perhatian, ulasan, kritikan dan penghargaan, barulah penulis dapat mengatasi kemarau kreativiti semasa dalam proses menulis?

Jawapannya juga “TIDAK”.

Pada peringkat awal ketika menghasilkan karya kesusasteraan, hasil karya kita mungkin tidak mendapat perhatian, penghargaan, ulasan dan kritikan.

Pada masa sekarang, begitu ramai penulis yang bersaing untuk mendapat perhatian daripada editor pelbagai pihak.

Kalau kita sering menulis secara konsisten dan bersabar, apakah editor tidak memberi perhatian yang sewajarnya?

Yang paling utama untuk melangkah ke dunia kesusasteraan adalah mendapat perhatian editor.

Kemudian yang mendatang tentunya penghargaan, ulasan dan kritikan serta hasil karya itu mendapat siaran surat khabar.

Jangan mengharapkan dengan satu hasil karya kita akan mendapat perhatian, ulasan, kritikan dan penghargaan.

Perkara ini tidak mungkin berlaku dalam dunia kesusasteraan.

TERUS MENULIS

Berdasarkan pengalaman, apabila kita menulis secara konsisten dan bersabar, semua perhatian, ulasan, kritikan dan penghargaan itu akan mendatangi kita.

Apabila kita mencintai bidang kepenulisan kesusasteraan ini, niat kita adalah untuk menghasilkan sebuah karya yang sebaik mungkin.

Penilaian terhadap hasil karya pula adalah sesuatu yang subjektif dari sudut pandang seorang pengulas dan pengkritik.

Jadi, kenapa harus ada kerisauan tentang tembok penghalang kreativiti untuk melestarikan bidang ini? Keempat, ada kemungkinan ketiadaan motivasi diri yang menyebabkan terjadinya tembok penghalang kreativiti pada penulis ini.

Ketiadaan motivasi daripada ahli keluarga, atau mungkin masalah peribadi dan masalah kesihatan penulis boleh mencetuskan kegagalan mengatasi writer’s block ini.

Berdasarkan tafsiran Kamus Dewan Edisi Keempat, motivasi ialah keinginan yang keras atau semangat yang kuat pada diri seseorang yang mendorongnya untuk berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan.

Ketiadaan motivasi membawa maksud yang bertentangan dengan kenyataan di atas.

Pada saya jawapannya juga “TIDAK”.

Tentu ada penulis di Barat atau di tempat lainnya yang tidak mendapat motivasi keluarganya, mempunyai masalah peribadi atau kesihatan, tetapi telah menghasilkan karya yang avant garde.

Keadaan yang janggal seperti itu akan menguatkan semangat perjuangan penulis untuk menghasilkan karya agung.

(Bahagian 2 artikel ini disiarkan pada 30 September 2023)

BERITA LAIN

Matinya presiden kami!

Seluruh jelata Asmaraloka dikejutkan dengan khabar liar yang berhembus sejak semalam itu. Semacam tidak percaya, rasanya baru seminggu lepas presiden mereka itu mendapat tepukan dan

Sanggar Puisi

HARUMAN RAMADAN Hirupan mewangi akrab bersama alunan suci Rempah taqwa membalut diri Ujian menahan nafsu Sepurnama Ramadan hadir Maghfirah diburu insani Mawaddah iqra itulah penyeri

Nukilan Effa Raifana

EFFA RAIFANA. Nama sebenar beliau ialah Nur Raifana Abdullah @ Deborra Michael. Kelahiran daerah Dalat, Sarawak. Berkhidmat di Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak. Bergiat aktif

Kilau Ramadan

Saat siang datang mewarnai kelaparan Betapa kemiskinan kian tumbuh di ladang Kilau ramadan menyamar lentik kehampaan Haus dan lapar mendayung saling menghayati setelah siang menuntut

Oyeng dan lelaki berwajah Bonoba

AWANG JOHARI JULAIHI menggunakan nama pena: Johari A. Julaihi, berasal dari Simunjan dan menetap di Kota Samarahan, Sarawak. Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian

Puasa Pertama Aariqin

AIRUL AFFENDI ALI “Ayah, betul ke kalau tak puasa, tak boleh raya?. Soal Aariqin dengan dahi berkerut sambil matanya mulai mendung. Aku tersenyum. Buku yang

BERITA TERBARU