Mencari titik noktah isu sekolah daif

Isu sekolah daif di Sarawak tidak sepatutnya dikrompromi oleh mana-mana pihak yang dipertanggungjawabkan mencari jalan penyelesaian terbaik berkaitan isu ini.

Rakyat Sarawak seakan-akan sudah muak dengan semua hujah, debat dan pendapat yang dikeluarkan oleh pihak berkepentingan yang hanya dilihat sekadar ‘menyedapkan’ hati.

Bahkan ada yang menyifatkan semua inisiatif dan usaha tampak menemui jalan buntu dengan pelbagai retorik politik yang semakin menghimpit isu kesejahteraan rakyat.

Sejak peralihan tampuk kepimpinan pada peringkat Kerajaan Persekutuan yang baharu di bawah Pakatan Harapan (PH), isu sekolah daif yang merupakan tanggungjawab penuh Kerajaan Persekutuan mula mendapat liputan meluas dan perhatian turut disegerakan.

Untuk rekod, sebanyak 1,020 sekolah di Sarawak dikenal pasti sebagai dalam kategori daif, dengan 418 daripadanya kritikal.

Usaha pihak kerajaan terutama Kerajaan Persekutuan yang mempunyai tanggungjawab dalam pendidikan amat dituntut bagi menyelesaikan masalah sekolah daif di Sarawak terutama di luar bandar.

Menerusi laporan berita Astro Awani, 7 September 2018, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan peruntukan RM2.7 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi menyelesaikan isu sekolah daif di Sarawak.

Guru SK Bawang Tian sanggup korban cuti demi sekolah

Pandang Serius

Komitmen itu dinyatakan Menterinya, Dr Maszlee Malik yang menyifatkan pihaknya memandang serius isu itu khususnya di sekolah yang terletak di luar bandar dan pedalaman.

Jelas Dr Maszlee, biarpun berbeza ideologi, komitmen kementeriannya membantu rakyat Sarawak dalam bidang pendidikan tidak pernah berkurangan.

Memetik Berita Harian, 23 November 2018, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong mengeluarkan kenyataan agar Kerajaan Persekutuan tidak harus mengheret bidang pendidikan ke kancah politik demi kepentingan dan masa depan anak-anak di negara ini.

Menurut beliau, segala perlakuan Kerajaan Persekutuan yang asyik ‘bermain politik’ perlu dihentikan segera bagi mengelak sebarang implikasi negatif kerana ada bnyak isu lain yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berkenaan.

Tambahnya, ini termasuk kemudahan sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak yang serba-serbi tidak cukup daripada memperkatakan perkara remeh-temeh dan tidak berfaedah.

Manyin berkata, apa-apa sahaja program yang dilakukan berkaitan pendidikan mesti melangkaui perpecahan politik, sama ada bertentangan atau tidak, tidak boleh dijadikan isu dan berharap pihak terbabit lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan kerana tidak semua perkara boleh dipolitikkan.

Isu sekolah daif di negeri ini menjadi topik perbincangan utama antara Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika pertemuan di Petra Jaya pada 19 Februari 2019.

Diberi Perhatian

Maszlee berkata, isu sekolah daif sentiasa diberi perhatian berikutan banyak rungutan diterima khususnya daripada Kerajaan Sarawak yang mahukan Kerajaan Persekutuan memberi perhatian terhadap masalah berkenaan (Berita Harian Online).

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Datu

Dr Mohd Fadzil Abdul Rahman menegaskan bahawa selaras dengan tanggungjawab Putrajaya itu, soal pendidikan termasuk di Sarawak.

Oleh itu katanya isu pendidikan harus diberi keutamaan biar apa pun alasannya, walaupun dukungan politik dijadikan ukuran dan sandaran terhadap pertimbangan tersebut.

Menurut beliau, biar apa pun haluan politiknya, kelangsungan pendidikan tidak usah diheret ke kancah politik jika itulah alasannya dengan pendidikan adalah agenda yang perlu didukungi oleh semua peringkat lebih-lebih lagi di peringkat penggubal dasar dan pemerintah, tegas beliau.

Sinar Harapan

Rakyat Sarawak sekali lagi diberi sinar harapan bagi penyelesaian sekolah daif melalui kenyataan media KPM sendiri pada 2 Februari 2019, yang menyatakan sentiasa komited dalam memastikan pembangunan sekolah di semua negeri amnya dan Sarawak khasnya demi mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Bagi tujuan pembangunan semula sekolah daif di Sarawak 2019, KPM memperuntukkan RM100 juta yang melibatkan pembangunan semula 32 sekolah.

Selain itu, KPM juga memperuntukkan RM25.7 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf 135 sekolah termasuk sekolah daif yang melibatkan kerosakan struktur dan pembaikan kecil di Sarawak mengikut tahap kerosakan sekolah terbabit.

Namun kita dikejutkan dengan bayaran kontra bagi dana RM1 bilion yang ditawarkan oleh Kerajaan Sarawak, namun ditolak Kerajaan Persekutuan yang pada awalnya bersetuju dengan tawaran untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di Sarawak.

Memetik Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee, prosedur penyaluran dana yang dipersetujui sebelum ini, adalah secara bayaran kontra kepada hutang pembangunan Sarawak.

Kerjasama padu Kerajaan Sarawak harus diperhebat agar warga pelajar serta pendidik di sekolah daif ini dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada proses PdP.

Kita sebagai rakyat Sarawak juga berharap para pemimpin sama ada dari Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Sarawak mengambil iltizam tinggi menyelesaikan isu ini.

Elakkan isu seperti ini daripada terus merencatkan usaha kita dalam memartabatkan pendidikan dan melahirkan generasi celik ilmu serta menjadi modal insan yang berguna untuk nusa dan bangsa.

#PANDANGBELAKANG

https://suarasarawak.my/2019/06/19/sk-sebemban-terus-dibiar-uzur/

https://suarasarawak.my/2019/04/08/ph-gagal-lihat-keperluan-pendidikan-swak/