Bersempena Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai, dapat dilihat bagaimana keindahan, kebebasan dan keharmonian yang dimiliki Sarawak boleh dijadikan contoh negeri lain.
Cinta merupakan lumrah semula jadi yang dimiliki oleh setiap manusia. Bahkan melalui sifat cinta ini menjadi penguat kepada seseorang itu menjaga dan memelihara dengan sebaik mungkin akan sesuatu.
Sebagaimana rasa cinta ibu dan ayah terhadap anaknya atau perasaan cinta terhadap seseorang.
Namun, cinta yang tertinggi dan terbesar ialah cinta kita terhadap Tuhan yang Maha Esa iaitu Allah SWT dan Rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah SWT: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu cinta akan Allah maka ikutilah aku (Rasulullah SAW), nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (maksud Ali-Imran: 31)
CINTA TANAH AIR
Sebagai anak jati Sarawak kita seharusnya memupuk perasaan patriotisme dalam setiap anak didik bangsa Bumi Kenyalang akan kecintaan tanah air sendiri.
Semangat mencintai tanah air menjadi aspek terpenting dalam jati diri bagi mempertahankan kestabilan keharmoian serta meningkatkan kemajuan.
Bahkan, kita harus sedar bahawa ia merupakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.
Bukankah menjadi impian kita mengimpikan sebuah negara yang aman damai bebas daripada penjajahan dan persengketaan?
Firman Allah SWT bermaksud: (Negerimu) ialah negeri yang baik (nyaman) sedang (Tuhanmu) ialah Tuhan Yang Maha Pengampun.” (maksud as-Saba: 15)
Jikalau kita menelusuri sirah menceritakan tentang Rasulullah SAW amat mencintai tanah airnya sendiri dan pernah berdoa: “Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau melebihi cinta kami pada Makkah.” (maksud hadis riwayat Bukhari).
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila pulang musafir pasti Baginda SAW mempercepat perjalanan kerana kecintaan dan kerinduan tanah airnya iaitu kota Makkah.
MASYARAKAT MAJMUK
Salah satu kelebihan yang dimiliki oleh Sarawak ialah memiliki masyarakat yang berbilang bangsa, seperti Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Melanau dan sebagainya.
Dan kesemua mereka mampu hidup dalam keadaan hamoni tanpa wujudnya persengketaan antara bangsa dan kaum.
Suasana begini amat bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-Quran: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia di dunia ini berbilang bangsa dan keturunan. Untuk mereka saling mengenali.
Dan manusia yang terbaik ialah orang yang paling bertakwa kepada Allah SWT.” (maksud al-Hujurat: 13)
Islam tidak sesekali meninggikan martabat sesuatu kaum hanya berdasarkan warna kulit, bangsa, kaum dan sebagainya, tetapi Islam memperjuangkan keadilan bagi setiap manusia.
Oleh itu, Islam merupakan agama yang berdedikasi dalam memperjuangkan kebaikan, keutuhan, ketamadunan, kemajuan dan kebebasan terhadap kelompok manusia.
Pun begitu, kita tidak lari daripada ancaman yang meranap keharmonian dan kestabilan masyarakat.
Wujudnya sebahagian manusia yang membakar api permusuhan melalui isu perkauman.
Bahkan perkara sebegini sentiasa berlanjutan dalam masyarakat kerana terdapat pengkhianat yang sememangnya ingin memadam kesejahteraan dalam masyarakat.
Berdasarkan Hadis Nabi SAW: “Bukan termasuk umatku sesiapa sahaja yang menyeru orang pada asabiyah (perkauman), bukan dari golongan kami orang yang berperang kerana asabiyah dan bukan dari golongan kami orang yang mati kerana asabiyah.” (maksud hadis riwayat Abu Daud)
