ARTIKEL

HARITH (tengah) merakam gambar kenangan bersama-sama rakan-rakan di puncak Tajur Rambung.

Mendaki bina ketahanan diri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MENGHIRUP udara baharu di Bumi Kenyalang, penghijrahan seorang anak muda dari Perak ke Sarawak bukan sekadar untuk menuntut ilmu, malah menjadi titik permulaan dalam merealisasikan impiannya yang terbendung sekian lama.

Berbekalkan semangat yang membara dan azam yang tinggi, beliau memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk menyemarakkan semula minat mendalamnya terhadap aktiviti mendaki, iaitu hobi yang pernah terhalang akibat pelbagai kekangan di negeri asalnya.

1. Boleh kongsikan sedikit latar belakang diri anda?

Nama saya Muhammad Harith Adli, berusia 22 tahun dan sedang mengikuti pengajian dalam bidang Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Pada masa lapang, saya menggemari aktiviti seperti mengemas dan memasak. Namun, saya memiliki hobi baharu setibanya di Sarawak.

2. Apakah faktor yang memotivasikan anda menjadikan pendakian sebagai hobi di Sarawak?

Minat terhadap aktiviti mendaki sebenarnya sudah lama berputik sebelum saya menjejakkan kaki ke Sarawak. Bagaimanapun, kawasan tempat tinggal saya di Perak mempunyai pilihan trek yang agak terhad dan terletak jauh. Keadaan di Sarawak jauh berbeza dan amat kondusif untuk saya mengembangkan hobi ini.

3. Apakah perbezaan utama yang anda perhatikan sepanjang meneroka trek pendakian di Sarawak?

Saya amat kagum dengan keindahan panorama alam semula jadi di sini. Perkara yang paling mengejutkan saya ialah kadar bayaran masuk ke sesebuah lokasi yang amat berpatutan.

Malah, sesetengah laluan tidak memerlukan khidmat pemandu arah mahupun permit khas, tidak seperti pengalaman saya di Perak.

4. Dari segi gaya pendakian, adakah anda lebih selesa bergerak secara solo atau berkumpulan?

Saya sememangnya memilih untuk mendaki secara berkumpulan bersama-sama rakan-rakan. Selain mengelakkan rasa sunyi sepanjang perjalanan, kehadiran rakan-rakan amat penting dari sudut keselamatan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini di atas bukit.

5. Antara lokasi yang pernah dijejaki, trek pendakian manakah yang paling meninggalkan kesan mendalam?

Gunung Singai di Bau, Sarawak. Pendakian tersebut saya lakukan secara berdua bersama seorang rakan. Perjalanan menuju ke puncak penuh dengan cabaran dan rintangan fizikal yang benar-benar menguji ketahanan kami sebelum akhirnya berjaya tiba di puncak.

6. Boleh kongsikan pengalaman di luar jangkaan atau detik cemas yang pernah anda hadapi?

Sewaktu pertama kali mendaki Gunung Serapi, saya membuat keputusan untuk berpisah sementara daripada kumpulan utama bagi mengejar rakan di hadapan yang sepatutnya menunggu di simpang air terjun.

Namun, setibanya di lokasi tersebut, mereka tiada di situ. Didorong oleh perasaan panik dan cemas, saya berlari menyusuri laluan itu seorang diri dan melepasi jambatan yang dihempap pokok tumbang. Langkah saya terhenti apabila menemu i kawasan berpagar dawai berduri, lalu menyedarkan saya bahawa laluan itu sebenarnya ditutup atas faktor keselamatan.

7. Apakah cabaran terhebat dari sudut fizikal dan mental yang pernah anda lalui?

Pengalaman tersesat di Gunung Serapi itu merupakan ujian terberat buat saya. Keadaan panik dan tindakan berlari sendiri di tengah-tengah hutan menyebabkan saya mengalami keletihan melampau serta degupan jantung yang sangat kencang akibat ketakutan.

8. Bagaimanakah cara anda mempersiapkan diri dari segi kecergasan dan kelengkapan sebelum mendaki?

Bagi membina stamina, saya konsisten melakukan latihan joging atau berjalan pantas setiap hari menjelang tarikh pendakian. Dari aspek kelengkapan pula, saya sentiasa memastikan barangan keperluan asas seperti lampu suluh, bekalan air yang mencukupi serta kit pertolongan cemas disediakan dengan lengkap.

9. Apakah iktibar paling berharga yang anda peroleh sepanjang berkecimpung dalam aktiviti ini?

Elakkan daripada mendaki seorang diri. Langkah keselamatan terbaik ialah mendaki dalam kumpulan sekurang-kurangnya tiga orang. Kehadiran rakan amat penting bagi memastikan ada pihak yang boleh saling membantu jika berlaku sebarang kecemasan.

10. Bagaimanakah pengalaman anda semasa berinteraksi dengan komuniti pendaki tempatan?

Sangat positif. Saya berpeluang bergaul dengan pendaki daripada pelbagai latar belakang serta bertukar-tukar pandangan. Pendaki tempatan yang saya temui juga amat mesra dan sentiasa bersedia berkongsi maklumat penting mengenai keadaan trek, panduan keselamatan serta tip pendakian yang amat berguna.

11. Apakah puncak sasaran utama yang berada dalam perancangan anda seterusnya?

Gunung Santubong. Hasrat untuk mendaki gunung tersebut masih belum kesampaian berikutan beberapa halangan sebelum ini seperti hujan lebat serta penutupan laluan pendakian. Saya amat berharap dapat sampai ke puncaknya pada masa akan datang.

BERITA LAIN

Patrick Stewart Meninggal Dunia

Dunia seni lakonan antarabangsa kehilangan seorang legenda apabila pelakon tersohor Britain, Sir Patrick Stewart, meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di Los Angeles,

Satu panggilan, simpanan lesap

BAYANGKAN satu panggilan telefon yang kedengaran begitu meyakinkan apabila suara di hujung talian memperkenalkan diri sebagai pegawai bank, polis atau agensi kerajaan. Nada percakapannya tegas,

BERITA TERBARU