KUCHING: Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan mendiang Datuk Seri Ambrose Blikau Enturan telah menyumbang banyak jasa untuk membangunkan kawasan luar bandar dalam tempoh beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas.
Justeru, Alexander yang juga Menteri Kerja Raya berkata bukan sahaja ahli keluarga merasai kehilangan mendiang malah semua penduduk di kawasan DUN Katibas juga meratapi kehilangan beliau.
“Mari kita sama berdoa agar roh beliau tenang bersama disisi-Nya.
“Jasa dan pengorbanan beliau sentiasa tersemat di hati kita.
“Kata-kata semangat beliau sentiasa menjadi pedoman kita untuk melangkah lebih jauh,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menyampaikan takziah kepada isteri mendiang, Datin Sri Marie Therese Mathias serta keluarga.
“Saya mewakili semua penduduk di kawasan Parlimen Kapit mendoakan agar ahli keluarga beliau tabah dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Mendiang Ambrose menghembuskan nafas terakhir pada usia 70 tahun, kira-kira jam 8.05 pagi semalam di Pusat Pakar Perubatan Normah Kuching akibat jangkitan paru-paru.
Bekas ADUN Katibas itu berkhidmat hampir 40 tahun, sejak 1979 sebelum bersara daripada politik pada 2021 itu.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Perancangan Sumber dan Menteri Muda Kewangan dari 2001 hingga 2006.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Awam dari 2006 dan 2009.
Acara penghormatan terakhir ke atas mendiang akan diadakan pada jam 8 malam ini di Lot 608, Jalan Kedandi, Lorong 8, Tabuan Dusun, di sini.
Manakala upacara pengebumian akan diadakan di Gereja St Joseph Cathedral Kuching pada esok.
Mendiang yang dilahirkan pada 20 Julai 1953 meninggalkan isteri, Datin Sri Marie Therese Mathias, dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan lapan cucu.
Sementara, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual menziarahi mendiang pada jam 3 petang nanti.