KUCHING: Mendiang Datuk Seri Ambrose Blikau Enturan meninggalkan impak yang mendalam dalam dunia politik Sarawak dan Parti Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).
Demikian luah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyifatkan khidmat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas itu bersama PBB melalui susah dan senang.
“Kita tahu apabila kita menghadapi krisis, mendiang tetap bersama dengan pemimpin Iban lain dalam PBB dan mempertahankan parti kita.
“Salah satu pencapaian terbesar Datuk Seri Ambrose adalah perkhidmatannya sebagai Setiausaha Agung (sec-gen) PBB Sarawak.
“Semasa berkhidmat, beliau telah berusaha sepenuh tenaga untuk mempersatukan semua parti dalam Barisan Nasional (BN), demi kepentingan Sarawak.
“Usaha ini tidak hanya mencerminkan kebijaksanaan politiknya, tetapi juga semangat kerjasama yang diperlukan dalam menjalankan tugas berat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang Blikau di kediamannya di Tabuan Dusun di sini, hari ini.
Selain daripada peranannya dalam politik Sarawak, katanya mendiang juga dikenali sebagai seorang yang komited untuk membangunkan kawasan luar bandar.
“Beliau gigih berusaha untuk memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar, dan ini mencerminkan hasratnya untuk melihat kemajuan yang seimbang di seluruh Sarawak.
“Malah, mendiang telah melakukan banyak perubahan kepada DUN Katibas….di Song telah banyak capai kemajuan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Bukan itu sahaja, beliau telah mengendalikan Hornbill Skyways serta Saberkas dan telah banyak berjasa untuk Saberkas. Jadi benar-benar kehilangan seorang kawan, rakan sekerja dan seorang pemimpin,” ujarnya lagi.
Mendiang Ambrose menghembuskan nafas terakhir pada usia 70 tahun, kira-kira jam 8.05 pagi semalam di Pusat Pakar Perubatan Normah Kuching akibat jangkitan paru-paru.
Bekas ADUN Katibas itu berkhidmat hampir 40 tahun, sejak 1979 sebelum bersara daripada politik pada 2021 itu dan beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Perancangan Sumber dan Menteri Muda Kewangan dari 2001 hingga 2006.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Awam dari 2006 dan 2009.
Upacara pengebumian akan diadakan di Gereja St Joseph Cathedral Kuching pada esok sekitar jam 10 pagi dan dikebumikan di Nirvana Memorial Park, Bau kira-kira jam 11 pagi.
Mendiang yang dilahirkan pada 20 Julai 1953 meninggalkan isteri, Datin Sri Marie Therese Mathias, dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan lapan cucu.