Mendiang ASP Aldrin Gonda selamat dikebumikan

SERIAN: Mendiang Asisten Superintendan Aldrin Gonda yang maut dalam kemalangan di lampu isyarat Arkib Negara, Alor Setar, Kedah pada Ahad selamat dikebumikan jam 11 pagi tadi.

Upacara pengebumian di tanah perkuburan Kampung Terbat Leban, di sini turut dihadiri Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot, Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis serta pegawai-pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Mendiang meninggalkan isteri, Anastasia Chu dan anak lelakinya, Alexander Ben yang masih berusia 6 tahun serta ibu bapanya, Gonda Bong Mim Fui dan Milah Majin.

“Dia adalah seorang anak yang sangat baik, rajin dan memberi teladan yang baik kepada adik-beradiknya,” kata ayah mendiang, Gonda Bong Mim Fui.

Mendiang ASP Aldrin, 38, merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik.

Mendiang yang merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Kedah meninggal dunia selepas kereta peronda dinaiki bersama dua anggotanya terbabas dan terbalik di lampu isyarat Arkib Negara, Alor Setar, Kedah pada Ahad.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, mendiang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah manakala dua lagi anggotanya masing-masing luka di kepala dan kedua-dua kaki.

Anak mendiang ASP Aldrin Gonda, Alexander Ben,6, melukis bentuk hati di pusara ayahnya sambil disaksikan ibunya, Anastasia Chu.

Suara Sarawak