ARTIKEL

Mendiang Mejar KM (B) Michael Riman Bugat disemadikan di Makam Pahlawan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jasad mendiang Mejar KM (B) Michael Riman Bugat ditempatkan ke Dewan Suarah, di sini untuk penghormatan terakhir sebelum disemadikan di Makam Pahlawan pada Khamis nanti.

Ahli Jawatankuasa (AJK) pengurusan jenazah mendiang, Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw berkata, jenazah ditempatkan di Dewan Suarah pada 12.30 tengah hari tadi untuk ziarah dan penghormatan terakhir yang berlangsung selama dua hari.

“Jenazah mendiang kemudiannya akan disemadikan pada Khamis di Makam Pahlawan di Taman Budaya.

“Acara pengkebumian akan dilaksanakan pada jam 10 pagi dan dijangka selesai pada jam 11 pagi,” katanya.

Terdahulu, mendiang menghembus nafas terakhir pada 7 Ogos, sekitar jam 9 pagi.

Berita sedih tersebut dikongsikan oleh Facebook Rasmi Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam satu hantaran semalam.

Mendiang yang berasal dari Saribas merupakan penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) yang dikurniakan pada 6 Jun 1984 atas keberaniannya semasa pertempuran dengan pengganas komunis di Sarawak.

Pada 1 Jun 1979, Platun Risik Gempur (UCIS) yang dianggotai oleh Kapten Michael dan diketuai oleh Sarjan Kanang Langkau berjaya menjejak kesan musuh sehingga bertembung dengan tempat rehat mereka. Dalam pertempuran tersebut, beliau dengan berani terus menyerang dan merempuh ke arah musuh.

Di atas sikap keberanian yang ditunjukkan beliau dan kumpulannya berjaya membunuh seramai lima orang pengganas komunis.

Pertempuran tersebut meragut nyawa seorang anggota kumpulannya dan beliau sendiri mendapat kecederaan parah di bahagian lengan.

Mendiang pernah memikul tugas mengendalikan urusan logistik sebagai Kuarters Master (KM) di Rejimen 511 Askar Wataniah, Batu 7, Kuching.

Selain itu, mendiang juga pernah menyandang tugas yang sama di kem Bau disusuli Markas 1 Divisyen, Sekolah Tentera Darat di Ulu Tiram Johor dan Maktab Tentera Diraja Sungai Besi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU