Mendokong perlembagaan tonggak perjuangan GPS

KUCHING: Mendokong perlembagaan menjadi tonggak utama perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mempertahankan Bumi Kenyalang dan menentukan masa depan rakyat.

Ketua Menteri yang juga pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sejak ditubuhkan kira-kira setahun lalu, gabungan empat parti politik tempatan ini tidak akan tunduk sebaliknya terus memperjuangkan kepentingan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita berjuang atas Perlembagaan Malaysia dan Sarawak. Kita berjuang atas fakta, semangat, keikhlasan untuk mengangkat martabat Sarawak, keutamaan kita adalah rakyat Sarawak.

“Kita tidak akan keluar dari Malaysia tetapi akan mempertahankan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika merasmikan Konvensyen GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Hadir sama Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen GPS Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menambah tonggak perjuangan GPS juga dengan menghormati undang-undang, mendokong hak-hak dan kepentingan Sarawak serta mempertahankan keamanan dan perpaduan negeri.

Suara Sarawak