KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Hendry Gurney selama tiga tahun Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis syabu, dua tahun lalu.
Majistret Zaiton Anuar memerintahkan demikian selepas pendengaran laporan akhlak pesalah muda berusia 17 tahun dari Jabatan Kebajikan Masyarakat semalam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama, kerana memasukkan dadah terlarang jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya.
Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan, sekitar jam 4.53 petang, 2 Julai 2021.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, seorang remaja lelaki telah ditahan oleh sepasukan polis dan dibawa ke IPD Padawan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas tertuduh didapati positif dadah.
Kemudian, sampel urin tertuduh dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis dan laporan menunjukan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.