Mengapa tolak belanjawan rakyat?

SEBELUM sidang parlimen, parti pembangkang sudah memalu gendang.

Kedengaran bahawa Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan diluluskan oleh Parlimen.

Pembangkang dikatakan akan menggunakan bajet ini sebagai “pintu belakang” untuk melaksanakan undi tidak percaya kepada kepemimpinan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin tersenarai sebagai kertas mesyuarat Dewan Rakyat tetapi sehingga kini tidak dibahaskan.

Dalam senario sebegini, apabila Belanjawan 2021 tidak diluluskan, maka ini dapat dijadikan alasan bahawa kepemimpinan Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti.

Kecuali rang undang-undang pindaan perlembagaan, majoriti untuk meluluskan mana-mana rang undang-undang hanya memerlukan satu undi lebih.

Pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat sidang akhbar pada 23 September lalu mengumumkan bahawa beliau mempunyai bilangan untuk menubuhkan kerajaan, sekali gus mengetepikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong juga telah berkenan untuk Anwar menghadap Seri Paduka.

Namun istiadat menghadap itu terpaksa ditangguhkan kerana Yang di-Pertuan Agong ketika itu sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Anwar dilaporkan berkata bahawa sokongan majoriti yang menghampiri dua pertiga itu membolehkan beliau membentuk kerajaan baharu.

Begitu yakin dengan sokongan yang diterimanya, Anwar berkata, kerajaan Muhyiddin sudah berakhir.

Namun mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak yakin bahawa Anwar mempunyai angka seperti yang diuar-uarkan.

Mahathir mengingatkan bahawa ini bukan kali pertama, Anwar yang menjadi pemimpin pembangkang membuat dakwaan sebegitu.

Selepas pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober, kenyataan Istana Negara memaklumkan bahawa semasa pertemuan itu, Anwar hanya memaklumkan majoriti yang dimilikinya tanpa mengemukakan senarai Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Apabila percubaan untuk menjatuhkan Kerajaan PN gagal, langkah seterusnya ialah cuba menggagalkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen pada 6 November lalu.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak berdiam diri bagi memastikan Bajet 2021 yang penting semasa wabak Covid-19 melanda negara ini diluluskan.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada blok pembangkang.

Input pembangkang diambil kira dalam penggubalan Belanjawan 2021.

Semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah dengan slogan “Malaysia Baharu” sekalipun namun input wakil pembangkang tidak diusahakan.

Dengan input pelbagai pihak, Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Tengku Zafrul seorang teknokrat dilihat sebagai bajet semua pihak.

Beliau mengadakan siri perjumpaan dengan semua ahli parlimen, termasuk pemimpin pembangkang bagi mendapatkan input mereka.

Pemimpin PH telah mengadakan perjumpaan dengan beliau pada Ahad, 1 November di Putrajaya.

Pertemuan ini diadakan susulan kenyataan media yang ditandatangani oleh Presiden PKR merangkap Pengerusi PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang menggesa kerajaan PN mengadakan perbincangan secara rasmi berhubung belanjawan. PH mencadangkan enam perkara dalam sesi tersebut.

Cadangan terpenting ialah menambah peruntukan kepada Kementerian Kesihatan bagi menangani wabak Covid-19.

Begitu juga melanjutkan moratorium pembayaran semula hutang sehingga Mac 31, 2021.

Peningkatan bantuan kebajikan kepada RM1,000 serta penambahan belanjawan untuk pendidikan.

Sebagai teknokrat yang tidak menyertai mana-mana parti politik, Tengku Zafrul lebih mudah untuk mendapatkan input pelbagai pihak.

Sebelum berjumpa dengan pemimpin PH, Menteri Kewangan turut berjumpa dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking.

Semua langkah ini dijalankan agar Belanjawan 2021 benar-benar menggarapkan aspirasi semua lapisan rakyat yang berdepan dengan kemelut Covid-19 yang masih tidak kelihatan penghujungnya.

Pembangkang sepatutnya menggunakan kesempatan ini untuk menunjukkan bahawa mereka benar-benar prihatin terhadap kesusahan rakyat yang berdepan dengan wabak ini.

Sokongan terhadap Belanjawan 2021 dapat digunakan oleh mereka, khususnya PH bahawa kepentingan rakyat diutamakan.

Politik diketepikan buat sementara kerana rakyat dan negara jauh lebih penting.

Inilah naratif paling baik apabila PH bertemu dengan rakyat dalam kempen pilihan raya umum kelak.

Inilah juga seruan Muhyiddin agar semua ahli parlimen menyokong belanjawan ini.

Namun, ini bukan naratif yang dipilih oleh PH.

Dalam diam-diam, Mahathir mengadakan pertemuan di kediaman Tengku Razaleigh Hamzah, ahli parlimen Gua Musang September lalu.

Walaupun pertemuan ini tidak diumumkan, namun dalam era media sosial, gambar pertemuan ini giat ditularkan.

Tengku dalam temu bual dengan Astro Awani memaklumkan “perjumpaan itu tak ada apa apa…. hanyalah makan malam biasa.”

Sukar untuk menerima bahawa pertemuan ini biasa-biasa sahaja apabila Mahathir yang bertandang ke rumah Tengku Razaleigh.

Kalau sebaliknya, orang tetap akan bertanya?

Tengku Razaleigh tidak hadir untuk mengundi Belanjawan 2021 berjumlah RM322.54 bilion dibacakan bagi kali ketiga Selasa lepas.

Bajet ini diluluskan dengan 111 ahli parlimen menyokong dan 108 menolaknya.

Seorang tidak hadir. Mahathir semasa membahas belanjawan menolaknya kerana Kementerian Pendidikan tidak memperuntukkan cadangan untuk melaksanakan kaedah pendidikan yang lebih sesuai dengan keperluan anak muda pada masa depan.

Beliau melihat kaedah pendidikan kini tidak lagi sesuai.

Adakah satu sebab ini sudah cukup untuk menolak Belanjawan 2021?

Menolak bajet yang mendapat input semua pihak, termasuk PH?

• Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan.

Suara Sarawak