
MIRI: Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menahan seramai 11 lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sini.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata kesemua suspek ditahan di sebuah pusat hiburan tiga tingkat di sini, pada jam 9.45 malam Selasa lalu.
“Hasil serbuan telah menjumpai dan merampas sejumlah 18 biji pil disyaki dadah Erimin 5 seberat 5.10 gram dan satu paket plastik lutsinar berisi 15 batang rokok berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 16.70 gram.
“Turut dirampas satu bekas plastik bulat berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 44.80 gram dan satu lagi bekas plastik bulat berisi serbuk campuran disyaki dadah jenis ekstasi seberat 362.00 gram.
“Jumlah kesemua rampasan bernilai RM20,034.70 dan kesemua suspek telah direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum sampai mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
Beliau turut menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah untuk segera melaporkan ke balai polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.