Mengekang pemburuan haram, penguatkuasaan berterusan

KUCHING: Sesiapa yang ditangkap kerana memburu atau menjual beruang atau anggota badan haiwan lain untuk apa-apa sahaja alasan akan dihukum.

Dalam kenyatan media baru-baru ini, Sarawak Forestry Corporation (SFC) bekerjasama dengan Pejabat Residen dan Daerah, pihak berkuasa tempatan, PDRM, Kastam, Jabatan Imigresen, Maritim, agensi pelabuhan, tentera dan lain-lain penguat kuasa bagi memastikan pemburu dan penyeludup dipenjara di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Tegasnya, Kerajaan Sarawak serta Kerajaan Negeri yang lain tidak menggunakan anggota badan hidupan liar ini sebagai penawar. Jelas kenyataan tersebut, pada masa kini, apabila pakar kesihatan dan sektor yang lain mengerahkan sepenuh usaha untuk mengekang dan merawat pesakit, memburu beruang bukan penyelesaian.

“Sarawak pada masa ini juga meletakkan kawalan sempadan yang ketat. “Ini boleh mengawal pemburuan rentas sempadan dan penyeludupan haram antarabangsa ke atas spesies yang terancam termasuk anggota badan hidupan liar di sepanjang kawasan sempadan.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) ini, penguatkuasaan tidak berhenti,” katanya. Selain itu, SFC secara aktif mempromosikan kesedaran awam mengenai pemuliharaan hidupan liar melalui program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (Cepa) sebelum PKP dan akan meneruskan program itu selepas PKP ditarik.

Semasa PKP, SFC melakukan program ini melalui media sosial dan media arus perdana. Tambahnya, kakitangan SFC dari pejabat bahagian, pejabat kawasan dan Pasukan Tindakan Cepat Hidupan Liar (SWAT) telah meningkatkan rondaan di pelbagai pasar di seluruh Sarawak bagi mengekang sebarang aktiviti pemburuan haram.

Pegawai penguat kuasa bersedia untuk menyiasat maklumat yang diterima. Pegawai Penguat Kuasa Bahagian bersama-sama lebih 300 Renjer Hidupan Liar di seluruh negeri kini bekerjasama dan akan membuat laporan jika mengesan kegiatan tersebut.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perdagangan hidupan liar diminta menghubungi SFC di talian 016- 8565564 / 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8223449 / 019-8332737 (Bintulu) dan 019- 8290994 / 018- 9799778 (Miri).

Suara Sarawak