PADA Sabtu lalu, 11 Mac, saya diundang oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak untuk mengendalikan bengkel penulisan biografi dan autobiografi.
Bengkel itu dihadiri oleh 21 peserta, terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk penulis veteran.
Sesi berkenaan memberi peluang kepada saya untuk mengongsikan tip dan pengalaman menulis biografi.
Saya telah menulis beberapa biografi, termasuk biografi pemimpin politik.
Kini saya sedang meneruskan penulisan biografi Tun Abdul Rahman Yaakub, mantan Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Menulis biografi bukanlah tugas yang mudah. Ia umpama satu perjalanan seribu batu yang amat berliku dan penuh cabaran dan ujian.
Sebab, sebelum biografi menemui pembaca, penulis perlu terlebih dahulu melakukan kajian yang mendalam dan meluas, termasuk mewawancara hingga ratusan sumber — ahli keluarga, rakan, rakan pejabat, musuh dan mereka yang mengenali tokoh.
Tidak hairanlah, ada buku yang hanya beredar di pasaran selepas 10 tahun. Robert Caro, penulis biografi Presiden Amerika Syarikat, Lyndon Johnson bertajuk Power Broker mengambil masa tujuh tahun untuk penyelidikan sahaja.
Biografi Gabenor pertama Sarawak Tun Abang Haji Openg yang saya tulis mengambil masa tiga tahun untuk penyelidikan sahaja — dan buku itu belum lagi terbit selepas 10 tahun usaha penyelidikan pertama dilakukan.
Penulisan biografi itu, sama seperti biografi Rosli Dhoby dan sebuah lagi biografi tokoh politik, membawa saya ke pelbagai perpustakaan, negeri dan kota.
Saya perlu menggeledah fail, surat dan dokumen di Public Record Office di London dan perpustakaan di Singapura, selain semua perpustakaan di Kuching.
Tidak banyak penulis yang bersedia untuk melakukan kerja rumit dan meletihkan itu.
Kerja yang menuntut banyak pengorbanan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.
Penyelidikan, penulisan, penyuntingan, penerbitan dan pencetakan biografi mendambakan kesabaran dan ketekunan.
Ya, tentu juga memerlukan kemahiran, penguasaan teknik, bahasa dan pengalaman.
Untuk menghasilkan sebuah biografi, penulis perlu menggeledah semua buku dan dokumen berkaitan, serta mengunjungi tempat lahir, sekolah, tempat bekerja, malah kubur atau kampung halaman dan tempat asal leluhur keluarganya.
Sejarah hanya mampu masuk ke ruang tamu kediaman rasmi pemimpin utama negara, sebaliknya biografi kadang-kadang ke kamar tidur tokoh.
Ketika melakukan penyelidikan untuk biografi Allahyarham Tun Salahuddin Abang Barieng, saya berpeluang masuk ke bilik-bilik di Astana Negeri, selain mengunjungi kampung beliau di Sibu dan bekas rumah panjang keluarganya di Kanowit. Saya juga perlu ke kubur ibu bapanya di Sibu.
Kenangan bagaimana bekas TYT Sarawak itu menghargai saya selepas buku itu siap, dengan membawa saya makan makanan laut di Santubong, serta menghidang saya dengan durian di Astana Negeri, pasti akan melekat dalam memori saya.
Sesungguhnya, untuk menulis sebuah biografi yang autoritatif, menyeluruh, mendalam dan menarik memerlukan penulis meneliti gambar, artifak, cenderamata, dokumen, surat, sijil, keratan akhbar, diari, testimoni dan sebagainya tentang tokoh yang ditulis.
Penyelidikan termasuk wawancara dan pembacaan serta pemerhatian perlu dilakukan untuk mendapatkan data, fakta, maklumat, nuansa dan semangat bagi ditiupkan ke dalam biografi yang bakal ditulis.
Semangat zaman atau zeitgeist sosiobudaya dan latar zaman perlu dilukiskan dalam biografi.
Penyelidikan bagi saya, umpama perjalanan 600 kilometer, penulisan 300 kilometer, manakala penyuntingan dan pencetakan 100 kilometer untuk perjalanan seribu kilometer. Ia menuntut stamina, semangat, disiplin dan komitmen jitu.
Bukan tidak ada yang kecundang di tengah jalan.
Segala fakta, maklumat dan data yang diperoleh daripada penyelidikan itulah yang akan memberi kekuatan kepada biografi. Penulis akan dapat menyerlahkan keunikan, keistimewaan dan individualiti tokoh berkenaan.
Sesungguhnya, penulis biografi, autobiografi atau memoir tidak hanya dapat bergantung kepada ingatan semata-mata.
Ya, ingatan memberi tulang belakang kepada biografi.
Manakala penyelidikan dan sumber memberi daging, darah dan nyawa kepada biografi berkenaan.
Kita perlu menerbitkan lebih banyak biografi pelbagai tokoh di Sarawak.
Setakat ini, kita mungkin hanya berjaya menerbitkan tidak lebih daripada 25 biografi tentang pelbagai tokoh di negeri ini.
Ini bagi saya rekod yang amat mengecewakan selepas 60 tahun kita merdeka.
Yang lebih mengecewakan, belum ada satu pun biografi tentang pejuang bahasa dan sastera di Sarawak setakat ini.
Biografi penting sebagai menghargai tokoh, merakamkan jasa dan sumbangannya, selain menambah korpus warisan negara dan mengisi kekosongan historiografi negeri dan tanah air.
Bayangkan dengan membaca biografi, pembaca dapat memetik pelbagai mutiara pengalaman dan pengajaran daripada tokoh.
Ini jalan singkat untuk memahami riwayat hidup dan perjalanan kerjaya tokoh terbabit.
Sebagai seorang yang begitu meminati biografi, saya begitu teruja dan terhibur apabila membelek halaman demi halaman biografi yang ditulis dengan profesional, teliti dan mengesankan.
Bayangkan perasaan anda ketika membaca biografi Sultan Brunei yang tinggal di istana yang memiliki 1,778 kamar.
Saya juga begitu seronok membaca buku biografi Sukarno tulisan Cindy Adams untuk menyelami pemikiran, emosi, perwatakan dan personaliti bekas Presiden Indonesia itu.
Sukarno dilaporkan mempunyai sembilan isteri, malah ada biografi khusus untuk itu yang dapat anda baca.
Benarlah, biografi membantu pembaca menemukan contoh, memetik mutiara kearifan dan pengalaman serta membantu mencari lorong kehidupan ke hadapan.
Bayangkan pengalaman anda ketika membaca biografi doktor bedah mayat Thailand yang tersohor, Dr Porntip Rojanasunand: The Dead Do Talk.
Ya, bayangkan juga ketika anda membaca kisah dan perjalanan hidup pelacur, pondan dan pelbagai jenis skandal membabitkan pemimpin dunia.
Jika anda mahu mengetahui kisah menarik hubungan pelatih di Rumah Putih dengan Presiden John F Kennedy, anda perlu membaca biografi Once Upon A Secret: My Hidden Affair with JFK (2012) tulisan Mimi Alford.
Skandal dengan pemimpin Amerika Syarikat itu hanya didedahkan 40 tahun kemudian.
Kata Mimi dalam memoir itu: “Blinded by the president’s power and charisma, I was fully committed to keeping our affair secret. It was a joyless business.
I can’t say our relationship was romantic.
It was sexual, it was intimate, it was passionate.”
Bagi saya, biografi yang baik perlu memiliki resipi yang sesuai, termasuk titik-titik penting dan utama kehidupan dan kerjaya tokoh.
Ia perlu disalutkan dan dianyamkan dengan rempah ratus seperti dialog, humor, anekdot, statistik, catatan, testimoni dan contoh.
Riwayat hidup tokoh perlu disulam dan disira dengan peristiwa besar dan bermakna kepada masyarakat, bangsa dan negara.
Biografi perlu mentafsirkan kehidupan dan pengalaman yang diharungi tokoh sebagai pengajaran dan teladan kepada pembaca.
Menyedari pentingnya lebih banyak biografi mengenai pelbagai bidang diterbitkan, maka wajar pihak DBP dan institusi tempatan yang lain menaja penerbitan biografi di negeri ini.
Juga, mengadakan peraduan dengan hadiah yang lumayan.
Dengan itu, kita akan dapat menambahkan korpus biografi tokoh dalam pelbagai bidang di Sarawak.
Bengkel yang saya kendalikan pada Sabtu lalu hanya langkah kecil ke arah itu bagi membantu penulis memahami teknik genre penulisan yang sekian lama diabaikan di negeri ini.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.