Mengintai bidara, anggur dari anjung rumah

SARIKEI: Bukan hanya anggur hijau, tetapi buah bidara, markisa dan pelbagai tumbuhan herba yang tumbuh subur di hadapan rumahnya di Taman Susur Jambu di sini, ibarat syurga santai bagi pesara kerajaan, Abang Yusuf Abang Wasli, 65.

Pokok buah-buahan yang tumbuh subur itu tidak hanya menyejukkan mata memandang tetapi juga menjadi tempat, datuk empat cucu ini meluangkan masa lapangnya bersama-sama keluarga.

Menurut bekas kakitangan Jabatan Laut ini, dia bermula sekadar suka-suka dengan beberapa anak pokok sebagai permulaan.

“Saya menyediakan sedikit ruang khas di hadapan rumah sebagai tapak semaian.

Pada mulanya tidak menjadi namun, saya terus mencuba dan akhirnya membesar dengan baik dan pokok-pokok tumbuh subur,” katanya kepada Suara Sarawak.

Abang Yusuf berkata, ruang tanah yang terhad di hadapan rumahnya bukan alasan untuk berpeluk tubuh sebaliknya, dia berusaha mencari inisiatif lain bagi meneruskan hobi yang amat diminatinya itu.

Malah katanya, dia juga terpaksa mendapatkan tanah yang lebih sesuai untuk semua tanaman itu di tempat lain.

“Tanah juga memainkan peranan penting kerana boleh mempengaruhi kesuburan tanaman kita.

Buat kerja ini mesti kena rajin. Kalau tidak, memang tidak menjadi. Sebahagian tanah ini saya ambil di tempat lain sedikit demi sedikit.

“Bagi saya, menanam tanaman ini memang memberi manfaat 100 peratus. Saya tidak bosan dan penat.

Setiap petang saya akan melihat tanaman ini, bukan sahaja pokok buah dan bunga-bungaan.

“Selepas bersara, saya tidak ada aktiviti lain. Saya cuba bertanam apatah lagi saya memang meminati bidang pertanian dari dahulu lagi.

Lebih menggembirakan semuanya menjadi. Justeru, setiap petang saya akan ke sini untuk menghilangkan tekanan,” ujarnya.

Bercerita tentang anak benih tanamannya, Abang Yusuf berkata, sebahagiannya dibeli di pasar Sarikei dan ada yang diperoleh secara percuma daripada keluarganya.

“Saya mula menanam anggur hijau ini empat tahun lepas manakala benihnya saya peroleh daripada adik saya di Telaga Air Kuching.

“Pada peringkat awal, saya cuba sebatang pokok dengan mempelajarinya daripada Internet.

“Ia berbuah tetapi tidak seperti buah yang kita beli di pasar, saiznya lebih kecil.

Setelah itu, saya bagi baja dan tanamannya semula. Begitu juga dengan pokok bidara dan markisa,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tanamannya tidak dijual sebaliknya hanya untuk kegunaan sendiri dan sebahagiannya diberi kepada jiran dan rakan.

Suara Sarawak